WM

Bakti saintis tanah

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

WANITA hebat ini memang mengagumkan, mana tidaknya, walaupun pelbagai anugerah tersandang pada namanya, tetapi dia tetap merendah diri.

Tutur kata tersusun rapi dan setiap ayatnya diungkap bernas yang melambangkan dia bukan calang-calang orang.

Masanya banyak dihabiskan dengan berbakti kepada tanah, menguruskan pelbagai program kemasyarakatan terutama untuk memastikan masyarakat terutama di luar bandar menguruskan tanah sebaik mungkin.

Anak kelahiran Muar, Johor itu juga berusaha sedaya upaya menanam sifat cintakan tanah bukan saja pada golongan dewasa, malah juga generasi pelapis akan datang.

Bagi Dr Rosazlin Abdullah, 42, yang juga Presiden Persatuan Sains Tanah Malaysia, amat penting bagi setiap individu tahu kaedah pengurusan tanah sebaik mungkin kerana ia berkait rapat dengan bumi dan alam sekitar yang tiada galang gantinya.

Memulakan bicara, Dr Rosazlin berkata, satu pertiga tanah di dunia mengalami masalah kemerosotan kualiti akibat hakisan, kekurangan nutrien, pencemaran, kekurangan bahan organik dan tanah berasid.

“Sebagai saintis tanah, saya sedaya upaya memastikan adanya kesedaran dalam penggunaan tanah bukan saja kepada agensi terbabit, malah masyarakat sendiri.

“Dalam pada itu, saya juga sentiasa menekankan soal pengurusan tanah secara lestari untuk memastikan negara kita dapat menghasilkan bekalan tanaman sendiri, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bekalan makanan yang diimport dari negara luar,” katanya.

Menurut Dr Rosazlin yang juga pensyarah kanan Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM), walaupun usaha yang dilakukan itu nampak berat namun ia sangat penting demi memastikan masyarakat menggunakan tanah sebaik mungkin.

“Dalam setiap program kemasyarakatan, saya banyak berhubung dengan penduduk luar bandar terutama petani dan peladang, selain aktif melakukan program pemindahan ilmu dengan tema melestarikan pertanian dan alam sekitar yang diadakan bersama pertubuhan peladang, pengusaha tanaman, penduduk desa, golongan asnaf, pelajar sekolah juga badan bukan kerajaan.

“Selain di UM, masa saya banyak dihabiskan dengan program kemasyarakatan ini namun saya tidak berasa terbeban, malah sangat teruja untuk terus mendidik masyarakat supaya lebih menghargai tanah,” katanya.

TEKAD TERUS MENYUMBANG BAKTI

Dr Rosazlin berkata, bidang yang diceburinya mempunyai kaitan besar dengan alam sekitar juga masyarakat keseluruhannya.

“Tanah adalah bahan semula jadi yang tidak boleh diganti. Sekiranya tercemar, ia memerlukan banyak kos dan masa panjang untuk dibaik pulih. Oleh itu, menjadi tanggungjawab saya sebagai saintis tanah memastikan keadaan tanah di negara ini terpelihara.

“Walaupun kadangkala hingga tidak mempunyai cukup masa untuk diri sendiri namun saya tidak menyesal kerana mahu masyarakat kita lebih menghargai tanah serta tahu sedikit maklumat mengenai tanah,” katanya.

Tambahnya, dia juga akan terus menyumbang kepakaran dalam meningkatkan kualiti tanah dan tidak jemu mendekati komuniti dalam menyampaikan ilmu sains tanah.

“Terlalu ramai orang yang langsung tidak

mahu ambil tahu mengenai tanah kerana berasakan ia sesuatu yang tidak penting. Bahkan ramai juga yang langsung tidak kenal jenis tanah terutama generasi muda.

“Ia menjadi faktor paling utama mengapa saya komited untuk menyalurkan maklumat melalui program kemasyarakatan. Saya juga akan memastikan pengurusan waktu dan kerja yang baik bagi memastikan tidak mengalami sebarang masalah di kemudian hari,” katanya.

Disiarkan pada: September 30, 2019 @ 5:20am
d