WM

Memakai gigi palsu

Oleh Hafiz Ithnin

PEMAKAIAN gigi palsu bukan lagi asing dalam kalangan kita. Malah, ia sudah serasi dengan mereka yang sudah berusia.

Malah pemakaian gigi palsu dilihat amat membantu si pengguna bukan sahaja untuk dapat makan dengan baik, bercakap dengan jelas, malah memberi nilai estetika.

Pensyarah dan Pakar Pergigian Restoratifdi Kuliyah Pergigian, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kapten (B) Dr Mohd Haikal Muhamad Halil berkata, gigi palsu adalah pengganti gigi yang hilang yang boleh dikeluar dan dimasukkan semula dalam mulut anda.

Jelasnya, bagaimanapun gigi palsu memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dan tidak akan pernah berasa sama seperti dengan gigi asli seseorang.

"Namun, gigi palsu hari ini kelihatan semula jadi dan lebih selesa berbanding sebelum ini. Ada dua jenis utama gigi palsu iaitu penuh dan separa.

"Doktor gigi anda akan membantu anda memilih jenis gigi palsu yang terbaik untuk anda berdasarkan sama ada sebahagian atau semua gigi akan diganti dan kos yang terbabit," katanya.

Tambahnya, dengan gigi palsu penuh tapak akrilik berwarna merah jambu sesuai dengan gusi anda. Bentuk asas gigi palsu atas akan menutupi keseluruhan lelangit. Manakala bahagian bawah gigi palsu berbentuk seperti ladam untuk memberi keselesaan kepada lidah.

"Gigi palsu dibuat khas di makmal pergigian daripada acuan yang diambil dari mulut anda. Untuk pemilihan gigi palsu yang sesuai, perbincangan bersama doktor gigi amat penting.

"Doktor gigi akan melakukan pemeriksaan dalam mulut bagi mengenal pasti jenis gigi palsu yang sesuai dengan keadaan mulut anda," katanya.

Katanya, ada beberapa jenis gigi palsu yang biasanya diberikan kepada pesakit, mengikut indikasi. Antaranya gigi palsu penuh, gigi palsu separa, gigi palsu sementara dan gigi palsu fleksibel.

"Gigi palsu penuh terdiri daripada set atas dan bawah. Ia adalah gigi palsu boleh tanggal digunakan untuk menggantikan gigi yang hilang.

"Malah gigi palsu diperbuat daripada porselin atau akrilik dan disatukan oleh tapak akrilik atau logam. Gigi palsu penuh diperlukan apabila seseorang itu kehilangan semua gigi dan ia boleh membantu mengisi penampilan semula, menjadikan anda berasa lebih yakin untuk tersenyum," katanya.

Jelasnya, kedua-dua gigi palsu atas dan bawah terletak pada tisu gusi dan menggunakan vakum bagi membantu mengekalkannya di tempatnya.

"Pelekat gigi palsu boleh membantu meningkatkan perlekatan gigi palsu anda dan boleh menghalang sebarang sisa makanan daripada menyebabkan ketidakselesaan yang boleh berlaku jika ia terperangkap di bawah gigi palsu.

"Dengan penjagaan dan penyelenggaraan yang betul, gigi palsu penuh boleh bertahan antara lima hingga 10 tahun. Selepas tempoh ini, dinasihatkan untuk pergi berjumpa doktor gigi bagi menukar gigi palsu berkenaan," katanya.

Katanya, gigi palsu separa digunakan untuk mengganti satu atau lebih gigi yang hilang. Selain menggantikan gigi asal, tujuan mengganti adalah untuk mengembalikan fungsi dan estetik gigi pesakit. Pemasangan gigi palsu separa juga boleh mencegah gigi asli yang lainnya berubah posisi.

"Gigi palsu separa terdiri dari gigi tiruan yang melekat pada plastik berwarna merah muda dengan rupa yang menyerupai gusi.

"Seterusnya, gigi tiruan ini kemudian dihubungkan dengan kerangka logam atau plastik yang berfungsi menahan gigi palsu supaya berada di tempatnya," katanya.

Dr Mohd Haikal berkata, gigi palsu sementara atau juga dipanggil gigi palsu segera adalah gigi palsu yang boleh dipasang sejurus selepas gigi anda dicabut.

"Ia adalah pilihan untuk membantu anda meneruskan kehidupan seperti biasa sementara menunggu gigi palsu kekal baharu anda dipasang.

"Dengan mengurangkan tekanan pada kawasan gigi asli anda semasa makan, gigi palsu sementara akan membolehkan mulut sembuh tanpa perlu membuat sebarang perubahan besar pada gaya hidup.

"Doktor gigi anda akan mengambil acuan dan model gigi anda terlebih dahulu supaya gigi palsu sedia untuk anda pakai sejurus selepas cabutan," katanya.

Katanya, gigi palsu fleksibel adalah sejenis gigi palsu separa, tetapi ia diperbuat daripada bahan yang berbeza daripada gigi palsu separa biasa.

"Kebanyakan gigi palsu fleksibel diperbuat daripada termoplastik nipis seperti nilon, berbanding dengan akrilik yang lebih tebal dan lebih tegar digunakan dalam gigi palsu penuh.

"Anda mungkin mendapati bahawa gigi palsu separa fleksibel adalah lebih selesa berbanding separa boleh tanggal lain, terutama jika anda masih baharu untuk menggunakan gigi palsu," katanya.

Katanya lagi, bukan itu sahaja, malah kebanyakan gigi palsu separa biasanya dibuat dengan bahagian logam yang kadangkala boleh nampak.

"Gigi palsu fleksibel tidak menggunakan sebarang bahagian logam jadi ia lebih kelihatan estetik dan semula jadi.

"Apatah lagi gigi palsu baharu mungkin berasa janggal atau tidak selesa untuk beberapa minggu atau bulan pertama. Makan dan bercakap dengan gigi palsu mungkin memerlukan sedikit latihan," katanya.

Jelasnya, perasaan besar atau longgar adalah perkara biasa, manakala otot pipi dan lidah anda belajar untuk menahan gigi palsu anda pada tempatnya.

"Pengaliran air liur yang berlebihan, perasaan bahawa lidah tidak mempunyai ruang yang mencukupi dan kerengsaan kecil atau sakit juga perkara biasa.

"Jika anda mengalami yang berpanjangan, hendaklah berjumpa doktor gigi secepat mungkin bagi mengenal pasti masalah yang berlaku," katanya.

Petua untuk menjaga gigi palsu:

- Ketika membersihkan gigi palsu, pastikan bibir bawah dilapik dengan tuala, bagi mengelakkan gigi palsu patah apabila jatuh.

- Jangan biarkan gigi palsu anda kering. Letakkan dalam larutan rendaman pembersih gigi palsu atau dalam air kosong apabila anda tidak memakainya.

- Jangan sekali-kali menggunakan air panas yang boleh menyebabkan gigi palsu meleding.

- Memberus gigi palsu anda setiap hari akan menghilangkan mendapan makanan dan plak dan membantu mengelakkannya daripada tercemar. Pembersih ultrasonik boleh digunakan untuk menjaga gigi palsu anda. Namun, ia tidak menggantikan memberus harian yang menyeluruh.

- Berus gusi, lidah dan lelangit anda setiap pagi dengan berus berbulu lembut sebelum anda memasukkan gigi palsu anda. Ini merangsang peredaran dalam tisu anda dan membantu menghilangkan plak.

Disiarkan pada: February 4, 2022 @ 7:00am
d