addin

Bersederhanalah beraya!

Oleh Dr Muzaffar Syah Mallow

Ramadan Al Mubarak sudah hampir sampai ke penghujungnya. Rata-rata umat Islam di serata dunia termasuk di Malaysia kini sedang sibuk siap sedia menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri. Walaupun suasana sambutan hari raya pada tahun ini agak berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya akibat daripada penularan virus Covid-19 serta masalah kos sara hidup, setiap kali datangnya hari raya, sudah menjadi satu kebiasaan di kalangan orang ramai untuk berbelanja bagi menyediakan segala jenis persiapan serta kelengkapan bagi menyambut kedatangan hari lebaran berkenaan.

Ada antara mereka yang sanggup mengeluarkan dan berbelanja banyak wang ringgit semata-mata bagi menyambut hari yang hanya muncul setahun sekali ini. Ada juga dalam kalangan mereka yang sampai sanggup berhutang supaya hari lebaran yang bakal tiba dapat disambut dengan penuh meriah berdasarkan prinsip raya hanya datang setahun sekali dan prinsip biar papa asalkan bergaya.

Dalam menyediakan segala jenis persiapan dan kelengkapan bagi menyambut kedatangan hari lebaran yang bakal tiba tidak beberapa lama lagi, adalah penting supaya setiap daripada kita merancang perbelanjaan serta tidak mengamalkan sikap boros berbelanja. Walaupun hari raya cuma datang setahun sekali namun ia tidak bermakna kita harus membelanjakan banyak wang serta sanggup berhutang semata-mata untuk menyambut hari raya lebih-lebih lagi di kala negara kita serta hampir semua negara di dunia sedang mengalami masalah pertumbuhan ekonomi akibat daripada penularan virus Covid-19 pada awal tahun 2020 yang lalu.

Keadaan ekonomi semasa dan kos sara hidup pada ketika ini juga menuntut kita semua mengamalkan gaya hidup yang lebih bersederhana dan berjimat-cermat.

Adalah penting untuk kita ketahui tujuan utama sambutan hari raya itu sendiri. Hari Raya Aidilfitri disambut khusus oleh umat Islam bagi meraikan kemenangan mereka menahan diri dengan berpuasa daripada makan dan minum serta segala perkara yang boleh membatalkan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan Al-Mubarak. Kedatangan bulan Ramadan Al-Mubarak bukan sahaja menuntut umat Islam menjalani ibadah puasa malah turut juga mengajar umat Islam untuk menjadi insan yang sederhana dalam menjalani kehidupan seharian. Konsep kesederhanaan ini amat diberi penekanan oleh agama Islam.

Umat Islam tidak sepatutnya melakukan sebarang perkara yang boleh membawa kepada pembaziran, kemudaratan serta sia-sia. Perkara ini selaras dengan perintah Allah SWT di dalam kitab suci al-Quran yang bermaksud: "Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana antara kedua-dua cara itu." (Surah al-Furqan: Ayat 67)

Oleh yang demikian, adalah tidak wajar sekiranya kedatangan hari raya ini diisi dengan pembaziran serta perkara yang membawa kepada kemudaratan dan sia-sia pada diri sendiri. Tidak salah untuk kita melakukan pelbagai jenis persiapan dan kelengkapan untuk menyambut hari raya, namun ia harus dilakukan dengan bijaksana dan tidak membawa kerosakkan kepada diri kita sendiri. Perkara utama yang paling harus diberi penekanan ketika ingin melakukan proses persiapan hari raya nanti ialah untuk kita berbelanja mengikut kemampuan diri kita sendiri. Bak kata peribahasa melayu, ukur baju di badan sendiri, kita haruslah berbelanja mengikut kemampuan diri kita sendiri. Kita tidak seharusnya mengikut cara hidup orang lain. Setiap orang memiliki tahap kemampuan kewangan masing-masing. Sebarang proses perbelanjaan yang tidak mengikut tahap kemampuan kewangan kita akan menyebabkan kita mengalami masalah kewangan serta memudahkan kita untuk terjerumus ke kancah hutang. Hutang yang tidak berjaya dibayar boleh menyebabkan diri kita jadi jatuh muflis. Oleh itu, adalah penting untuk kita semua untuk tidak melakukan perbelanjaan di luar kemampuan diri kita sendiri sehingga boleh menyebabkan diri kita terjebak dalam kancah hutang serta menjadi muflis dikemudian hari.

Setiap orang harus merancang dengan bijak dan berhati-hati terhadap perbelanjaan mereka sebelum mereka keluar dari rumah untuk berbelanja ataupun melakukan proses perbelanjaan secara dalam talian. Mereka harus tahu membezakan antara keperluan dan kehendak ketika ingin membeli sesuatu barangan. Proses perbelanjaan harus diutamakan terhadap barangan yang menjadi keperluan asas kepada diri mereka dan bukannya berdasarkan kehendak hati atau nafsu mereka. Mereka perlu menjadi seorang pengguna yang bijak dengan rajin bandingkan harga barangan yang dijual antara satu peniaga dengan peniaga yang lain. Sambutan hari raya juga bukan lesen untuk mereka menukar segala perkakas yang ada di rumah dan membeli barang-barang baharu seperti perabot, karpet, langsir dan lain-lain lagi. Di dalam perkara ini, mereka harus mempraktikkan amalan kitar semula dan mengunakan daya kreativiti sendiri supaya rumah mereka dapat kelihatan menarik, bersih dan baharu sesuai dengan sambutan hari raya seperti dengan menyusun atur semula perabot yang ada dalam rumah serta membersihkan segala perkakas atau barangan yang ada dalam rumah mereka supaya ianya kelihatan cantik dan baru.

Perlu diketahui, kehidupan kita semua tidak hanya berpaksi terhadap sambutan hari raya semata-mata. Kita masih memerlukan banyak wang untuk menjalani kehidupan seharian selepas tamatnya musim raya nanti. Keadaan ekonomi yang tidak menentu pada ketika ini menuntut kita semua untuk lebih bijak dan berhati-hati ketika ingin berbelanja. Adalah lebih baik sekiranya kita melakukan amalan berjimat cermat. Budaya menyimpan dan menabung wang perlu diberi keutamaan demi masa depan diri sendiri dan keluarga.

Penulis Profesor Madya Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Disiarkan pada: April 17, 2023 @ 7:01am
d