arena

ACL tuntut JDT berlatih lebih awal

Oleh Firdaus Hashim

SAINGAN Liga Malaysia (Liga-M) bakal bersambung September ini dengan latihan pula hanya dibenarkan pada Ogos mungkin akan menimbulkan sedikit kegelisahan buat kem Johor Darul Ta'zim (JDT).

Ia susulan kemungkinan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) akan disambung lebih awal dengan cadangan untuk mengadakannya pada bulan Ogos sekali gus menyaksikan JDT terpaksa memohon pengecualian latihan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk turun berlatih seawal Julai ini.

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John Paul berkata, saingan tertinggi kelab-kelab Asia itu mungkin akan disambung dalam masa terdekat dengan bulan Ogos adalah pilihan terbaik.

Bagaimanapun, tarikh sebenar hanya akan diumumkan selepas mengambil kira maklum balas daripada pasukan bertanding sebelum membuat keputusan rasmi.

Malah, format pertandingan juga dirombak dengan format satu pusingan akan digunakan berbanding aksi dua pusingan sebelum ini.

"Juara ACL 2020 perlu diumumkan pada tahun ini bagi menentukan wakil Asia ke Kejohanan Piala Dunia Kelab FIFA yang akan berlangsung di Qatar pada bulan Disember.

"Berdasarkan maklum balas daripada semua wakil dalam mesyuarat, AFC akan membentangkan format baharu dan tarikh perlawanan sebelum dihantar kepada Jawatankuasa Pertandingan untuk dinilaikan.

"Kami perlu menunggu semua liga domestik bermula dahulu. AFC masih di peringkat perbincangan untuk memutuskan tarikh perlawanan sebenar," katanya.

Setakat ini, hanya Liga Korea Selatan saja sudah bersambung dengan kebanyakan negara lain pula memberi pengecualian latihan untuk skuad utama dalam liga di negara masing-masing.

Keadaan itu berbeza dengan Malaysia yang ketika ini masih tidak memberi kebenaran kepada sebarang aktiviti sukan bersentuhan seperti bola sepak.

Disiarkan pada: June 4, 2020 @ 10:57pm
d