Badminton

KBS, ISN sediakan perkhidmatan terbaik bantu Tze Yong

Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Institut Sukan Negara (ISN) akan bekerjasama menyediakan perkhidmatan terbaik buat pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong dalam usaha untuk dia kembali pulih dari kecederaan otot belakangnya itu.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, Tze Yong seorang pemain yang begitu berbakat dalam arena badminton negara namun disebabkan kecederaannya itu, ia memusnahkan harapan dia untuk beraksi di pentas Olimpik Paris 2024.

"KBS melalui Institut Sukan Negara akan terus berusaha menyediakan rawatan terbaik untuk perubatan dan perancangan pemulihan supaya dia dapat kembali ke gelanggang untuk memperbaiki semula ranking dunia dia.

"Anak muda ini mempunyai begitu banyak potensi, tetapi misinya untuk melayakkan diri ke Olimpik (Paris) kali ini terganggu kerana kecederaan yang dialaminya. Doa saya untuknya adalah agar dia pulih sepenuhnya dari kecederaan dan pembedahannya,"katanya melalui perkongsian di Facebook rasminya.

Tambah Hannah, pemain berusia 24 tahun itu juga sempat berkongsi pengalamannya ketika bertemu dengan beberapa pemain terbaik dunia dan itu menjadi antara perlawanan terbaik untuk dirinya.

"Tengah hari tadi (semalam) saya duduk bersamanya makan tengah hari dan mendengar luahan hati tentang kebimbangan, kekecewaan, dan proses pemulihannya. Dia berkongsi dengan saya perlawanan yang paling diingatinya dan betapa dia sangat menikmati bermain badminton.

"Saya tidak akan lupa kemenangannya menentang Viktor Axelsen dalam Terbuka Seluruh England 2023. Dia tenang dan bersahaja,"kata Hannah.

Terdahulu, Tze Yong terpaksa melupakan hasratnya untuk beraksi buat pertama kali di pentas Olimpik apabila dirinya masih di dalam proses pemulihan kecederaan otot belakangnya meskipun rankingnya ketika itu melayakkan dia ke temasya terbesar dunia itu.

Untuk rekod, setiap negara dibenarkan mempunyai dua wakil dalam acara perseorangan sekiranya berada dalam kelompok 16 terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan.

Namun begitu, disebabkan pemain kelahiran Johor itu tidak menyertai beberapa kejohanan penting menyebabkan rankingnya semakin menurun untuk berada di kedudukan ke-18 dunia ketika ini.

Disiarkan pada: June 26, 2024 @ 2:46pm
d