Bola Sepak

UiTM juara wanita 7 sebelah IPT 2022

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Skuad Universiti Teknologi Mara (UiTM) menewaskan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) A, 3-2 untuk muncul juara Karnival Bola Sepak Wanita 7's Terbuka Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 Universiti Malaysia Pahang (UMP) di padang UMP kampus Gambang, hari ini.

Dua jaringan penyerang lincah Nur Syafiqah Zainal Abidin dan satu gol oleh Nurfazira Muhammad Sani menobatkan skuad bimbingan Mohammad Ezuan Othman yang diperkuatkan empat pemain skuad kebangsaan itu sebagai juara.

Menurut Mohammad Ezuan, pengalaman pemain menjadi kelebihan kepada pasukan UiTM untuk muncul juara pada kejohanan julung kali diadakan itu.

"SSMP memberikan saingan sengit dan kedudukan terikat 2-2 pada masa sebenar perlawanan sebelum gol kemenangan hadir pada babak kedua masa tambahan.

"Saya berpuas hati dengan kejayaan menjuarai pertandingan kali pertama diadakan yang menghimpunkan ramai pemain wanita terbaik di peringkat kebangsaan dan IPT.

"Saya berharap pertandingan ini dapat diadakan setiap tahun dalam usaha mencungkil bakat lebih ramai pemain wanita yang akan mewakili negara di pentas antarabangsa," katanya.

Sebanyak 11 pasukan bertanding dan johan menerima hadiah wang tunai RM4,000 dan piala, naib johan meraih RM3,000 dan hadiah iringan manakala pasukan tempat ketiga, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menerima RM2,00 dan ke empat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meraih RM1,000.

Hadiah disampaikan Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin. Hadir sama Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Dr Pekan Ramli.

Disiarkan pada: October 23, 2022 @ 6:52pm
d