Bola Sepak

Negeri Sembilan mahu lebur ego Selangor

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) tidak mahu rekod pertemuan dengan Selangor FC sebelum ini, menganggu fikiran dan keyakinan mereka menjelang cabaran saingan suku akhir Piala FA, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Sebaliknya, pemain skuad Hobin Jang Hobin mahu kekal fokus kepada misi memburu kemenangan bagi membawa mereka melangkah ke separuh akhir saingan kalah mati itu musim ini.

Penyerang muda Negeri Sembilan, Sean Eugene Selvaraj berkata, dia dan rakan sepasukan sedar rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada tempoh kebelakangan ini sememangnya memihak kepada Selangor.

Katanya, bagaimanapun ia bukan ukuran sebenar terhadap kekuatan dan kejayaan sesebuah pasukan kerana faktor lain juga boleh mempengaruhi untuk membantu mana-mana pasukan beroleh kemenangan.

"Rekod pertemuan bukan ukuran sebenar tetapi prestasi dan persembahan ketika perlawanan yang akan menjadi penentu pasukan mana yang akan memenangi perlawanan.

"Bagi pertembungan dengan Selangor malam esok, kami akan menggandakan usaha dan mempamerkan persembahan terbaik untuk memburu kemenangan bagi membawa pasukan mara ke pusingan separuh akhir.

"Selepas musim lalu kami gagal melangkah lebih jauh saingan Piala FA ini, kali ini kami mahu manfaatkan peluang beraksi di laman sendiri dengan sebaik mungkin bagi mendapatkan kemenangan," katanya di sini, hari ini.

Sean yang arif dengan corak persembahan Selangor kerana pernah berada dalam skuad Gergasi Merah itu selama tiga musim sebelum ini berkata, walaupun bukan mudah untuk menewaskan skuad itu yang kini dibimbing Tan Cheng Hoe, namun bukan suatu yang mustahil bagi Negeri Sembilan melakar kemenangan.

"Saya akui Selangor memiliki kelebihan dari segi pemain terutama import berbanding kita, tapi itu boleh diatasi jika semua pemain Negeri Sembilan yang diturunkan nanti dapat memberikan persembahan terbaik sepanjang tempoh permainan.

"Apa yang penting kami perlu berusaha mencipta lebih banyak peluang jaringan dan menterjemahkan peluang itu dengan sebaiknya ke dalam gawang Selangor.

"Kami akan berjuang habis-habisan dan dengan sokongan padu penyokong, saya yakin dan percaya pasukan berpeluang mencipta kejutan dengan keputusan yang mengembirakan," katanya pemain berusia 25 tahun berasal dari Port Dickson itu.

Disiarkan pada: May 26, 2023 @ 5:30pm
d