Bola Sepak

Htet Aung perkasa NSFC

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) mendapat kekuatan baharu apabila pemain sayap Myanmar yang beraksi bersama Selangor FC, Hein Htet Aung, menyertai skuad itu secara pinjaman bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Kelab berkenaan dalam satu kenyataan memaklumkan Htet Aung dibawa masuk secara pinjaman pada sesi perpindahan kedua pemain Liga M yang berakhir hari ini.

"Htet Aung berasal dari Myanmar, bakal beraksi bersama skuad Negeri Sembilan secara pinjaman dari Selangor FC untuk baki musim 2023.

"Beliau boleh bermain sebagai pemain sayap dan penyerang. Htet Aung memulakan kerjayanya di Liga Malaysia bersama Selangor FC pada 2021.

"Memiliki ketinggian 1.74 meter, Htet Aung bakal menyarung jersi bernombor 10," menurut kenyataan terbabit.

Berdasarkan rekod, pemain sayap Myanmar berusia 22 tahun menjelang Oktober depan itu sudah beraksi bersama skuad Merah Kuning sejak 2021.

Bekas pemain sayap Hantharwady United itu turut diintai Penang FC. Dia merekodkan 55 penampilan serta menjaringkan empat gol selain mencipta 13 bantuan sepanjang bersama Selangor FC.

Perpindahan itu bakal memberi nafas baru kepada pemain terbabit selepas menyaksikan minit permainannya yang terhad sejak kebelakangan ini ekoran persaingan sengit di bahagian serangan Selangor.

Disiarkan pada: August 1, 2023 @ 9:16pm
d