Bola Sepak

Harimau Malaya lesu 'dibalun' Jordan

Oleh Firdaus Hashim

Doha, Qatar: Permulaan positif yang didambakan musnah apabila aksi serba tidak menjadi termasuk kelonggaran di benteng pertahanan menyaksikan skuad Harimau Malaya tumbang 0-4 di tangan Jordan dalam aksi pertama Kumpulan E Piala Asia di Stadium Al Janoub, di sini, awal pagi tadi.

Kelemahan ketara jelas terpampang apabila pemain negara dilihat terlalu mudah untuk diatasi dengan setiap pemain Jordan menunjukkan tahap kawalan bola yang baik sepanjang aksi.

Formasi menggunakan tiga pertahanan turut dilihat sebagai penyumbang kerapuhan benteng di mana rangkaian pemain sayap lawan begitu selesa bergerak, malah dua gol terhasil menerusi gerakan di bahagian tepi.

Malaysia yang tampil semula di pentas Piala Asia selepas kali terakhir beraksi pada 2007 atas tiket tuan rumah, membariskan skuad terbaik dengan sasaran memburu mata.

Bagaimanapun hasrat itu tidak kesampaian apabila gawang negara dibocori pada minit ke-12 hasil percubaan lencong dari luar kotak penalti oleh bekas pemain Kedah Darul Aman FC, Mahmoud Al-Mardi sekali gus gagal dihalang Syihan Hazmi.

Tidak sampai seminit selepas jaringan itu, perlawanan terhenti selama tiga minit apabila pengadil Mohammed Abdulla Hassan menggunakan Video Bantuan Pengadil (VAR) sebelum menghadiahkan sepakan penalti selepas mengesan tindakan Matthew Davies yang menggunakan tangan menghalang Yazan Al-Namat.

Mousa Al-Taamari yang mengambil sepakan itu mudah menewaskan Syihan buat kali kedua pada minit ke-18 untuk memberi tekanan kepada kem negara.

Tujuh minit selepas itu gawang negara bocor lagi namun rembatan deras Al-Taamari dibatalkan ekoran Al-Namat terlebih dulu dikesan offside.

Begitupun gawang negara bocor juga pada minit 32 menerusi sentuhan mudah Al-Mardi selepas dia menerima hantaran Al-Namat.

Malaysia yang berada di ranking 130 dunia hampir meraih gol semangat di hujung babak pertama tetapi percubaan jarak jauh Stuart Wilkin sedikit tersasar.

Bersambung babak kedua, Kim Pan-gon membuat beberapa pertukaran dengan memasukkan Shahrul Saad bagi mengukuhkan benteng negara dan percaturan itu sedikit membuahkan hasil.

Penyerang naturalisasi baharu negara, Romel Morales hampir mencetak nama selaku penjaring namun sungkitannya pada minit 61 agak lemah biarpun penjaga gol Jordan, Ahmad Juaidi sudah pun tertewas.

Dua percubaan tepat menerusi Paulo Josue dan Safawi Rasid masing-masing di minit 80 dan 82 mudah ditepis Juaidi, sebelum serangan kilat Jordan membolehkan Al-Taamari menghasilkan gol keempat.

Kekalahan besar itu menyaksikan laluan Malaysia untuk melepasi peringkat kumpulan semakin sukar dan selepas ini skuad negara akan berdepan Bahrain Sabtu ini di Stadium Jassim Bin Hamad.

Berita berkaitan:

Gol awal lawan 'bunuh' kami - Matthew

Yazan tak berniat balas dendam terhadap FAM

Faisal kecewa gagal beri impak bantu Harimau Malaya

Perjuangan belum berakhir, pemain perlu segera bangkit - Pan-gon

Pemain gugup, saya mohon maaf- Pan gon

Disiarkan pada: January 16, 2024 @ 3:32am
d