Bola Sepak

Sri Pahang menang besar ke atas Putrajaya Athletic

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad meluahkan kegembiraan apabila menamatkan aksi pramusim terakhir dengan kemenangan besar 6-1 ke atas Putrajaya Athletic FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam tadi.

Bekas legenda bola sepak Singapura itu berkata, kemenangan itu diyakini memberi suntikan semangat kepada anak buahnya menjelang aksi pembuka tirai Liga Super berdepan Kelantan Darul Naim (KDN) FC, 11 Mei depan.

"Sebaik berakhir lima perlawanan pramusim ini, saya lihat segalanya sudah siap sedia kecuali menamakan kesebelasan utama yang memerlukan penelitian dalam memberikan yang terbaik.

"Oleh itu saya harap mereka yang berada dalam skuad utama dapat mempamerkan persembahan terbaik untuk mengutip tiga mata pada perlawanan pertama nanti," katanya.

Mengulas kemenangan besar ke atas Putrajaya Athletic itu, Fandi mengakui pada separuh masa pertama anak buahnya tidak berada pada prestasi meyakinkan dan kurang agresif.

Katanya, segala pergerakan dalam mengatur serangan terlalu lambat hingga menyaksikan Sri Pahang kurang menyerlah sebelum pertukaran pemain dilakukan pada babak kedua.

"Pemain terlalu mengikut corak permainan lawan dan tiada aksi menyerang hingga membenarkan lawan menjaringkan satu gol.

"Namun pada babak kedua mereka bangkit dengan persembahan meyakinkan dan memastikan kemenangan besar ke atas lawan, sekali gus menamatkan aksi pramusim dengan kemenangan.

"Daripada lima aksi pramusim, Sri Pahang hanya tewas sekali dan sudah pasti keputusan positif yang dipamerkan dapat dipersembah dan diteruskan pada perlawanan pertama Liga Super 11 Mei ini," katanya.

Empat aksi pramusim sebelum ini, skuad Tok Gajah menewaskan dua kelab Singapura iaitu Albirex Niigata 1-0 dan Geylang International FC (1-0) dan KDN FC(1-0) serta tewas 0-1 kepada Terengganu FC.

Disiarkan pada: May 5, 2024 @ 9:32pm
d