Bola Sepak

Layangan kad merah 'bunuh' rentak KL City

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Layangan kad merah kepada pertahanan Kuala Lumpur City (KL City) FC, Adrijan Rudovic boleh dikatakan 'membunuh' rentak permainan skuad The City Boys dalam usaha untuk meraih tiga mata pada perlawanan pertama Liga Super, semalam.

Walaupun, KL City dilihat lebih mendominasi perlawanan pada awal perlawanan apabila berjaya menjaringkan gol menerusi Paulo Josue sebelum Pedro Henrique menyamakan kedudukan untuk Kuching City FC (KCFC) namun segala-galanya serba tidak kena selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Pengendali skuad The City Boys, Miroslav Kujalnac berkata, mereka berdepan situasi sukar sejak perlawanan bermula yang menyaksikan pasukan itu hilang tonggak pertahanan, Kamal Azizi Zabri seawal minit kedua yang mengalami kecederaan patah di bahagian tangan.

"Kita berdepan situasi sukar apabila hilang pemain seawal minit kedua dan terpaksa digantikan dengan pemain lawan. Kita mendapatkan gol pendahuluan tetapi kad merah itu mengubah segala-galanya.

"Tetapi keputusan seri bukanlah sasaran kita apabila kita terus menyerang dan berjaya mencipta beberapa peluang. Namun dengan kekurangan seorang pemain untuk jangka masa yang agak panjang, saya rasa keputusan seri sudah cukup bagus," katanya.

Justeru, Kuljanac menjangkakan pasukan itu dapat meraih kemenangan jika mereka tidak kehilangan Rudovic memandangkan mereka tetap tampil dengan aksi yang kemas meskipun berentap dengan pemain lawan yang memiliki kekuatan 'penuh'.

"Sudah tentu berbeza (11 lawan 11) kerana dengan 10 pemain pun, kita masih berbahaya dan memberikan masalah kepada KCFC. Kami bertahan dengan baik dan saya gembira dengan persembahan pemain.

"Sudah tentu ini aksi pertama yang sukar, apapun satu mata ini cukup baik," katanya.

Disiarkan pada: May 13, 2024 @ 3:20pm
d