Bola Sepak

Ferdinand rasa Ten Hag akan dipecat

Oleh Agensi

London: Rio Ferdinand percaya Erik ten Hag akan dipecat oleh Manchester United walaupun dia membimbing kelab itu menjulang Piala FA.

The Red Devils akan berdepan seteru tempatan Manchester City dalam perlawanan akhir Piala FA hujung minggu ini.

Selepas menamatkan musim di kedudukan kelapan carta Liga Perdana, kedudukan terendah United dalam divisyen utama, Ten Hag dan pemainnya berharap dapat membawa pulang piala daripada Wembley.

Sekiranya United menang, mereka juga akan mendapat tempat dalam Liga Europa musim depan.

Bagaimanapun, legenda kelab Ferdinand tidak yakin itu sudah memadai untuk Ten Hag akan dapat mengekalkan tugasnya.

Ferdinand berkata: "Semakin lama saya memikirkannya, menang atau kalah, saya tidak fikir Ten Hag akan berada di sana musim depan.

"Saya tidak mengatakan itu yang saya mahu, saya hanya mengatakan apa yang saya percaya akan berlaku dan saya percaya bahawa kelab akan mencari individu lain dan itu yang saya fikirkan.

"Saya tidak fikir (memenangi Piala FA) mengubah apa-apa di mata INEOS. Saya tidak bercakap dengan sesiapa di sana, ini hanya andaian, inilah yang saya fikirkan."

Membincangkan pencapaian United secara keseluruhan musim ini dia menyambung: "Ketepikan kecederaan, prestasi pasukan sangat teruk. Kebanyakan pasukan mengalami kecederaan, mungkin tidak sama dengan United.

"Saya sentiasa berkata perkara ini, saya berbunyi seperti rekod yang rosak: tahap prestasi boleh jatuh tetapi gaya bola sepak anda sepatutnya masih dapat dikenal pasti. Itu tak ada."

Disiarkan pada: May 21, 2024 @ 9:56am
d