Bola Sepak

Status Mickey diketahui minggu ini

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Status terkini berkaitan tahap kesihatan tonggak Selangor FC, Faisal Halim akan diketahui dalam tempoh terdekat ini.

Hal ini kerana, skuad Gergasi Merah akan mengadakan sidang media bagi menjelaskan status berkaitan pemain berusia 26 tahun itu selepas tempoh sebulan insiden membabitkan dia di simbah asid di sebuah pusat membeli belah di Petaling Jaya.

Situasi terbabit dimaklumkan Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang turut memaklumkan bahawa pihaknya juga akan cuba membawa pemain itu untuk menyertai kem latihan skuad Gergasi Merah kelak.

"Kita akan mengadakan sidang media dalam minggu ini. Kita akan cuba mencari jalan terbaik supaya Mickey(Faisal) dapat menyertai pasukan dalam musim ini," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Faisal menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu menyebabkan dia mengalami kelecuran tahap empat.

Dia berada dalam keadaan kritikal selepas insiden itu dan terpaksa mengharungi empat pembedahan untuk merawat luka lecuran di sebuah hospital swasta di Shah Alam.

Kecederaan yang dialami Faisal yang juga tonggak Harimau Malaya menyebabkan dia terpaksa menjalani empat pembedahan sebelum dibenarkan keluar hospital.

Sehingga kini, status pemain berkenaan sama ada boleh menyertai kem latihan Selangor FC masih lagi menjadi tanda tanya sehingga menyebabkan penyokong bola sepak tanah air memberi gambaran kemungkinan dia akan terlepas aksi saingan Liga Super musim ini.

Disiarkan pada: June 9, 2024 @ 2:06pm
d