Bola Sepak

Denmark perlu awasi Kane

Oleh Reuters

Frankfurt: Selepas keputusan seri yang mengecewakan dalam aksi pembukaan Euro 2024 menentang Slovenia, pemain Denmark perlu lebih waspada dengan bintang England seperti Harry Kane yang akan mereka temui dalam saingan Kumpulan C Euro 2024 tengah malam esok.

Denmark seri 1-1 dengan Slovenia sebelum menyaksikan England menang 1-0 ke atas Serbia, dengan Jude Bellingham menjaringkan gol dan Kane, Bukayo Saka serta Phil Foden memberikan kesukaran kepada pertahanan Serbia.

Pertahanan Denmark, Jannik Vestergaard, 31, berkata: "Jika keraguan mula timbul ia boleh menjadikan sesuatu perkara menjadi sukar dan kadang-kadang penting untuk mengekalkan keyakinan bagi meningkatkan kualiti diri.

"Kami percaya kepada diri sendiri kerana jika kami tidak percaya pada diri sendiri, saya tidak fikir orang lain akan percayakan kita," katanya yang bermain untuk kelab bola sepak Inggeris, Leicester City.

Vestergaard akan memberikan perhatian khusus kepada Kane yang menjadi sasaran pada separuh masa pertama menentang Serbia sebelum turun lebih dalam pada separuh masa kedua ketika England mempertahankan kelebihan tipis mereka.

"Dia penyerang sangat lengkap yang hampir. Dia boleh bermain dengan belakangnya menghadap gol, dia boleh membuat larian berbahaya ke dalam kotak penalti dan memperdayakan pertahanan.

"Dia (Kane) bagus dalam semua aspek dan itulah yang membuatkan sukar untuk mengambil sesuatu daripadanya kerana dia akan lakukan yang lain. Jadi sukar menentangnya tetapi ia juga cabaran yang menyeronokkan," katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2024 @ 10:49am
d