Bola Sepak

Selangor FC boleh bawa kes ke CAS atau mahkamah sivil

Oleh Syazwan Msar

Putrajaya: Selangor FC perlu melalui proses rayuan terlebih dahulu sebelum membawa keputusan hukuman tidak hadir perlawanan Sumbangsih ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) atau sivil.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Stuart Ramalingam memaklumkan bahawa Selangor FC mempunyai tempoh sekurang-kurangnya empat hari untuk mengemukakan rayuan daripada tarikh keputusan hukuman itu dikeluarkan.

Beliau berkata, Selangor FC tidak berdepan sebarang halangan jika masih lagi tidak berpuas hati dengan keputusan rayuan seterusnya mahu membawa perkara itu CAS atau mahkamah sivil untuk tindakan susulan.

"Selangor FC masih lagi boleh melalui proses rayuan jika tidak berpuas hati terhadap hukuman yang dikenakan terhadap pasukan itu.

"Empat hukuman yang dikenakan terhadap Selangor mungkin ada satu atau dua dipertimbangkan semula atau melihatnya kembali.

"Sekarang ini, terpulang ke Selangor FC untuk mengemukakan surat rayuan. Walau apa pun Selangor FC perlu melalui proses itu dahulu sebelum membawanya keluar (CAS)," katanya, ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah NTC di Presint 5, di sini, sebentar tadi.

Terdahulu, MFL mengenakan empat bentuk hukuman terhadap Selangor FC susulan tindakan pasukan itu 'tidak hadir' pada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei lalu.

Hukuman yang diputuskan menerusi mesyuarat Lembaga Pengarah MFL itu termasuk denda RM100,000 yang mana wang berkenaan akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan kelak.

Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu memaklumkan skuad Gergasi Merah turut dikenakan tiga lagi hukuman termasuk bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.

Satu lagi hukuman yang dikenakan adalah perlawanan Liga Super musim ini membabitkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga akan dimainkan tanpa penonton.

Berikutan itu, Selangor FC menerusi kenyataannya sedang meneliti dan mengkaji semua saluran yang bersesuaian untuk mengambil tindakan seterusnya susulan hukuman yang dikenakan MFL terhadap kelab itu.

Disiarkan pada: June 26, 2024 @ 6:09pm
d