Bola Sepak

MSNS lancar Tabung Solidariti Selangor FC

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) melancarkan Tabung Solidariti Bersama Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) bermula pada malam ini sehingga 2 Julai depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, inisiatif itu susulan keputusan tidak adil dan bersifat penindasan yang dijatuhkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kepada Selangor FC semalam.

"Bola sepak, yang selama ini dijulang sebagai sukan yang menyatukan rakyat kini dicemar dengan elemen keganasan dan ketaksuban kenegerian melampau hingga menjurus kepada perpecahan dalam kalangan masyarakat.

"Kerajaan negeri menjunjung kasih titah Sultan Selangor yang mencerminkan ketegasan dan kepekaan Baginda terhadap pelbagai isu dan ketidakadilan yang sedang dihadapi oleh Selangor FC.

"Justeru, inisiatif ini bertujuan memberikan ruang kepada semua rakyat Malaysia dan peminat sukan bola sepak merentasi batas kenegerian menzahirkan dukungan kepada Selangor FC dengan sumbangan kecil RM1 kepada Tabung Solidariti Bersama Selangor FC," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Najwan berkata, hasil dari sumbangan ini kemudiannya akan diserahkan kepada pihak Selangor FC bagi membantu mereka memperjuangkan keadilan sehingga ke peringkat tertinggi terhadap hukuman melampau yang dijatuhkan oleh MFL.

"Kepada yang berhasrat untuk menyumbang, anda boleh mengimbas kod QR berikut sebagai tanda solidariti anda: Tabung Sukan MSNS.

"Semoga dengan inisiatif ini dapat menggerakkan penyertaan semua pihak yang berkongsi citra dan aspirasi untuk mengembalikan semula sukan bola sepak sebagai sukan yang memupuk keharmonian dan perpaduan di kalangan rakyat," katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2024 @ 11:54pm
d