Bola Sepak

Dua gol Vinicius bantu Brazil singkirkan Paraguay

Oleh Reuters

Nevada: Vinicius Junior dari Brazil menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-1 Copa America ke atas Paraguay bagi pertembungan Kumpulan D di Nevada sekali gus bangkit daripada persembahan hambar pada perlawanan pertama.

Colombia, yang telah layak ke suku akhir, mengungguli Kumpulan D dengan enam mata selepas dua perlawanan, dengan Brazil di tempat kedua mengumpul empat mata.

Costa Rica di tempat ketiga dengan satu mata dan Paraguay, yang berada di kedudukan terbawah dengan tanpa sebarang mata selepas dua kekalahan, tersingkir daripada kejohanan.

Sejak wisel permulaan, rentak dan tipu muslihat Vinicius memberi ancaman berterusan kepada Paraguay di sayap kiri, jauh berbeza daripada prestasinya ketika Brazil seri 0-0 dengan Costa Rica pada perlawanan pembukaan peringkat kumpulan mereka.

Di sebalik permulaan kukuh Brazil, Paraguay yang hampir mendahului pada minit ke-15 apabila percubaan Damian Bobadilla menghala ke arah gawang terkena kepada Eder Militao dan hampir membuatkan penjaga gol, Alisson Becker, tersilap langkah sebelum mempamerkan tindakan refleks pantas.

Brazil mendapat sepakan penalti pada minit ke-28 selepas bola terkena tangan, namun sepakan yang diambil Lucas Paqueta tersasar, tetapi pemain tengah itu menebus kesilapannya tujuh minit kemudian dengan membuat hantaran kepada Vinicius bagi menghasilkan gol pertama.

Pemain sayap Girona, Savio menggandakan kelebihan Brazil selepas menerkam masuk bola yang melantun keluar dalam kotak penalti, sebelum Vinicius meledak gol keduanya pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Paraguay menjaringkan gol selepas rehat apabila Alderete merembat dari jarak jauh yang hebat, tetapi sebarang harapan untuk bangkit dengan cepat musnah apabila Brazil dihadiahkan penalti pada minit ke-68 selepas bola terkena tangan Mathias Villasanti.

Selepas gagal sebelum ini, Paqueta melangkah dan tidak membuat kesilapan pada kali kedua untuk menggembirakan peminat Brazil di Stadium Allegiant.

Menjelang penghujung perlawanan, kemarahan memuncak dan Andres Cubas dilayangkan kad merah selepas menendang Douglas Luiz, dengan Brazil menggunakan kelebihan pemain mereka untuk menguasai permainan dengan selesa dan meraih tiga mata.

Brazil seterusnya akan berdepan pendahulu kumpulan, Colombia di California pada hari Rabu, di mana keputusan seri sudah memadai untuk memastikan kelayakan ke suku akhir.

Costa Rica berdepan Paraguay di Texas.

Disiarkan pada: June 29, 2024 @ 12:22pm
d