Sukan Lain

Peluang rasai pengalaman berkayuh di WCE

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Peminat aktiviti berbasikal kini berpeluang untuk merasai pengalaman baharu berkayuh di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menerusi penganjuran kali pertama RHB WCE Century Ride yang akan berlangsung 19 Mei depan.

Acara berbasikal yang dianjurkan sempena Tahun Melawat Perak 2024 itu menawarkan pelbagai kategori peringkat umur dengan tiga pilihan utama cabaran ditawarkan iaitu 160 kilometer (km), 90km dan 28km di Lebuhraya WCE yang akan bermula dan berakhir di Plaza Tol Lekir.

Perlumbaan berbasikal yang dibawakan oleh Kumpulan Perbankan RHB dengan kerjasama WCE itu menawarkan hadiah wang tunai kepada tiga pemenang teratas bagi cabaran 160km Century Ride dan 90km Ride dengan pendaftaran akan dibuka mulai hari ini.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB, Mohd Rashid Mohamad, penganjuran kali pertama RHB WCE Century Ride itu adalah susulan daripada kejayaan penganjuran RHB LEKAS Highway Ride yang dilangsungkan setiap tahun.

"RHB secara proaktif menyeru keluarga dan masyarakat bersama-sama untuk mengamalkan gaya hidup lebih sihat melalui sukan berbasikal. Selain keseronokan berbasikal bersama keluarga dan rakan-rakan di lebuh raya, terdapat juga pelbagai aktiviti yang lain.

"RHB LEKAS Highway Ride yang dianjurkan pada setiap tahun adalah bukti kejayaan dan populariti acara berbasikal seperti itu di Malaysia. Pada tahun lalu, kami menerima lebih 6,000 penyertaan dari 30 negara.

"Justeru itu, kami amat teruja untuk memperkenalkan RHB WCE Century Ride," kata Mohd Rashid.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Berhad, Lyndon Alfred Felix berkata, acara berbasikal itu akan menawarkan pengalaman yang cukup bermakna.

"Kayuhan akan bermula di Lekir ke jajaran kami yang baru dibuka (Beruas–Taiping Selatan) dan kemudian kembali ke Lekir dengan meliputi jarak lebih 160km," katanya.

Bagi mereka yang berminat dan ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung RHB WCE Century Ride boleh melayari laman web www.wcecenturyride.com, di Facebook CWE Century Ride serta di Instagram @wcecenturyride.

Disiarkan pada: January 24, 2024 @ 3:23pm
d