Sukan Lain

Ketiadaan pemanah lelaki di Paris 2024 bukan mengejutkan

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Ketiadaan pemanah lelaki negara layak beraksi di pentas Olimpik Paris bukan sesuatu yang mengejutkan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM).

Sebaliknya Presiden NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan berkata, pencapaian pemanah lelaki negara sememangnya sudah dijangka kerana rata-rata mereka adalah barisan atlet pelapis kebangsaan.

"Kami faham kebanyakan mereka adalah atlet pelapis, jadi memang kami tidak meletakkan sasaran yang tinggi untuk mereka. Kalau mereka layak (beraksi di Paris), ia adalah satu bonus.

"Malah MSN (Majlis Sukan Negara) sudah sudah maklum mengenai perkara ini. Fokus atlet lelaki negara yang ada ketika ini adalah untuk layak ke Sukan Olimpik seterusnya (di Los Angeles)," katanya ketika dihubungi.

Tiga wakil negara iaitu Muhammad Zarif Syahiir Zolkepeli, Muhammad Danish Amsyar Norazlan dan Muhammad Syafiq Busthamin terkandas pada pusingan awal recurve individu dan berpasukan lelaki kejohanan Kelayakan Olimpik Akhir ArcheryInParis di Antalya, Turkiye yang berakhir semalam.

Ia sekali gus menyaksikan buat pertama kali selepas 16 tahun, Malaysia tidak akan mempunyai pemanah lelaki beraksi di temasya Sukan Olimpik menjelang edisi Paris 2024 bermula bulan depan.

Jumaat lalu, trio recurve wanita negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh mencipta sejarah apabila buat julung kali melayakkan diri ke Sukan Olimpik selepas mara sehingga ke final pada kejohanan sama di Antalya.

Mereka tewas tipis 4-5 kepada trio China pada aksi final sekali gus membawa pulang pingat perak.

Sebelum ini, Ariana Nur Dania berjaya meraih tiket ke Paris 2024 dalam acara recurve individu wanita selepas memenangi pingat emas Kejohanan Kelayakan Benua Asia di Bangkok, November lalu.

"Mereka menunjukkan semangat melawan yang tinggi dan memang berhak layak ke Paris. Alhamdulillah dengan persiapan rapi ketika sesi latihan, mereka peroleh keputusan yang cemerlang," kata Abdul Hamid mengenai trio recurve wanita negara.

Disiarkan pada: June 18, 2024 @ 2:01pm
d