Permotoran

Litar Pemotoran Antarabangsa Melaka bakal 'mengaum'

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Litar Pemotoran Antarabangsa Melaka (MIMC) bakal kembali 'mengaum' selepas sunyi selama hampir dua tahun susulan tiada aktiviti dan penganjuran.

Litar yang pernah mencatat sejarah pelbagai kejohanan tempatan dan antarabangsa seluas 3.5 hektar yang terletak berhampiran plaza tol Ayer Keroh, Durian Tunggal itu kini dikendalikan pengurusan baharu untuk mencongak semula aktiviti permotoran negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MIMC Hasmadi Md Yatim berkata, litar terbabit kini dikendalikan Drag Racing Management bersama- sama rakan strategik permotoran yang bakal mengerakkan penganjuran aktiviti sukan lasak berkenaan bermula penghujung Disember ini.

Katanya, pihaknya memperuntukkan RM100,000 bagi membaik pulih dan membuka semula operasi MIMC sekali gus merancakkan semula penganjuran sukan berkenaan.

Menurutnya, antara aktiviti permotoran yang sudah disusun termasuk go-kart, drift ,cub prix, pocket bike, track day dan drag day termasuk peringkat tempatan dan antarabangsa.

Katanya, jadual tahunan bagi 2022 sudah disusun sepanjang 12 bulan yang bakal meletakkan MIMC sebagai pilihan penganjuran bertaraf dunia.

"Selepas sekian lama tidak beroperasi susulan pandemik Covid-19 kini sudah sampai masanya pihak kami mengembalikan kegemilangannya semula.

"Apa yang membanggakan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kelab Pemotoran Gemilang, Kelab Sukan Bermotor Integrasi, COMMA, Sucimuci dan Revtech Motorsports selain Kelab Sukan Bermotor Exquisite, Permata Racing dan HS Empire bakal bergabung menyusun aktiviti besar yang mengagumkan," katanya di MIMC hari ini.

Beliau berkata, sambutan yang amat memberangsangkan dari pelbagai pihak terutama peminat sukan berkenaan berkenaan jelas membuka ruang buatnya untuk membentuk akar umbi dalam sukan terbabit.

Malah MIMC akan menjadi pilihan penggiat sukan berkenaan sekali gus membimbing mereka untuk menjadi pelumba terbaik untuk sukan dua dan empat roda di negara ini.

MIMC yang mampu menampung 800 tempat duduk dan antara arena sukan permotoran terbesar itu bagaimanapun akan dikendalikan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat selain mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) .

Disiarkan pada: December 4, 2021 @ 2:51pm
d