Permotoran

Hujung minggu yang perlu dilupakan Verstappen, Red Bull

Oleh AFP

Monte Carlo: Max Verstappen berkata, dia dan pasukannya Red Bull harus berpegang kepada kata-kata 'hujung minggu untuk dilupakan' selepas hanya menduduki tempat keenam, manakala rakan sepasukan, Sergio Perez tersingkir daripada perlumbaan Grand Prix (GP) Monaco.

Pendahulu keseluruhan dan juara dunia tiga kali itu berkata, pasukannya meraih sesuatu yang positif dengan mengenal pasti punca masalah semasa mereka selepas meraih keputusan terburuk sejak GP Brazil 2022.

Verstappen berkata, jentera mereka bergelut untuk mengatasi keadaan litar yang beralun dan melalui kawasan bahagian tepi jalan raya, yang terbukti menjadi kekuatan pesaing terdekat, Ferrari selepas perlumbaan itu dimenangi anak jati Monaco, Charles Leclerc.

Keputusan itu menyaksikan Verstappen masih kekal di puncak keseluruhan dengan mengumpul 169 mata, diikuti Leclerc dengan 138 mata, manakala dalam kategori pengeluar, Red Bull mendahului dengan 276 mata diikuti Ferrari 152 mata.

"Ia tidak akan menjadi hujung minggu yang lebih mudah di Montreal sama ada kerana bahagian tepi litar dan sebagainya," katanya, menantikan GP Kanada di mana satu lagi kejayaan Ferrari boleh membuka peluang kejuaraan.

"Jentera kami tidak bagus untuk itu. Mereka memunculkan semula kejaguhan di litar supaya kami bersedia dengan sebarang kemungkinan anda tidak pernah tahu tahap cengkaman.

"Ini adalah hujung minggu yang sangat rumit dan mencabar bagi kami di sini. Banyak kerosakan juga dengan membabitkan jentera Checo (Perez) dan secara keseluruhan hanya hujung minggu untuk dilupakan, tetapi juga banyak yang perlu dipelajari.

"Satu-satunya perkara positif yang saya fikir berjaya diraih pada hujung minggu ini ialah kami memahami kelemahan sendiri dan itulah yang sebenarnya kami perlu usahakan.

"Jika kami dapat menyelesaikannya atau menjadikannya lebih bagus, kami serta-merta memperoleh banyak masa sepusingan. Itu yang boleh kami janjikan, tetapi kami perlu melakukannya."

Disiarkan pada: May 27, 2024 @ 12:39pm
d