Permotoran

Verstappen rangkul kejuaraan hatrik di GP Kanada

Oleh Reuters

Montreal: Juara dunia tiga kali dari Red Bull, Max Verstappen melengkapkan kejuaraan hatrik di Grand Prix (GP) Kanada pada perlumbaan di litar basah dan mencabar, awal pagi tadi.

Verstappen yang bermula di barisan depan bersama-sama pelumba Mercedes, George Russell, yang berada di petak utama jelas bebas daripada masalah pada perlumbaan dalam situasi berubah-ubah dan memintas pemandu McLaren, Lando Norris pada pit stop terakhir.

Pemandu dari Belanda itu kemudian mengekalkan kedudukan untuk memenangi gelaran keenam daripada sembilan perlumbaan musim ini dan gelaran ke-60 buatnya dalam karier Formula Satu (F1).

Ia satu lagi pemanduan hebat buat pemandu berusia 26 tahun itu yang menangani keadaan trek yang berubah daripada basah kepada kering, pertarungan di pit stop dan cabaran daripada McLaren dan Mercedes ketika dia berdepan masalah suspension jentera Red Bullnya.

Selepas pemandu Ferrari, Carlos Sainz dan Williams, Alex Albon berdepan masalah sehingga menyebabkan kereta keselamatan masuk ke litar buat kali kedua, Verstappen memecut laju selepas perlumbaan disambung dan menamatkan saingan 3.879 saat di depan Norris manakala Russell mengatasi saingan sengit rakan sepasukan, Lewis Hamilton untuk melengkapkan podium.

"Bukan mudah, tapi kami melakukannya," kata Verstappen.

"Kami perlu berada di tahap tertinggi dan saya fikir sebagai satu pasukan, semuanya berjalan dengan baik pada hari ini.

"Saya fikir kami berhenti di pit stop tepat pada masanya dan sudah tentu, kemunculan kereta keselamatan sesuai dengan kami, tetapi selepas itu saya fikir kami mengemudi jurang perlumbaan dengan baik.

"Saya sangat sukakannya, ia memang seronok. Sesekali, anda perlukan perlumbaan mencabar seperti ini."

Kemenangan itu melonjakkan keyakinan di Red Bull yang sebelum ini dicabar sengit dan dominasi mereka dipersoalkan.

Dalam tiga perlumbaan sebelum GP Kanada, Red Bull hanya menang sekali dan persaingan bagi kategori pemandu serta pengeluar semakin sengit.

Disiarkan pada: June 10, 2024 @ 7:02am
d