Permotoran

Verstappen kekal dengan Red Bull

Oleh AFP

Spielberg, Austria: Max Verstappen mengesahkan dia akan kekal bersama Red Bull tahun depan sekali gus memusnahkan impian Mercedes untuk merekrutnya menggantikan Lewis Hamilton yang berpindah ke Ferrari.

Juara dunia tiga kali itu dalam sidang media semalam menjelang Grand Prix (GP) Austria hujung minggu ini berkata, dia kini fokus kepada kerja untuk kereta tahun depan dan memandu untuk pasukan itu.

"Baiklah. Ya," ketika ditanya sama ada dia akan kekal bersama Red Bull. "Itulah yang saya katakan. Kami akan bekerja untuk kereta tahun depan dan kami fokus dengannya. Bermakna anda akan juga memandu untuk pasukan.

"Sudah tentu orang bercakap, tetapi paling penting kami mempunyai kereta sangat kompetitif untuk masa depan. Kami bekerjasama untuk cuba memperbaiki dan menjadi lebih kompetitif lagi tahun depan," katanya lagi.

Ketua pasukan Mercedes Toto Wolff berkata Verstappen menjadi sasaran utamanya untuk menggantikan juara dunia tujuh kali yang akan meninggalkan pasukan, Hamilton.

"Saya mempunyai kontrak jangka panjang dengan pasukan. Saya sangat gembira di mana saya berada dan kami sudah fokus untuk tahun depan dengan aspek yang boleh diperbaiki pada kereta. Jadi, saya rasa itu sudah cukup memberitahu di mana saya akan memandu tahun depan," tambah Verstappen.

Verstappen mempunyai kontrak dengan Red Bull sehingga 2028. Selepas tujuh kemenangan daripada 10 perlumbaan tahun ini, Verstappen berkelebihan 69 mata dalam perlumbaan gelaran mengatasi pesaing terdekat dan rakan baiknya, Lando Norris dari McLaren.

Disiarkan pada: June 28, 2024 @ 11:43am
d