bisnes

Tanam kopi Nestle

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Nestle (Malaysia) Berhad menyasarkan untuk mengagihkan kira-kira 50,000 biji benih kopi Robusta kepada 200 peladang di Kedah bagi tujuan penanaman kopi membabitkan 40.47 hektar tanah menjelang 2020.

Program yang kini pada fasa perintis itu membabitkan kerjasama antara Nestle bersama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Jabatan Pertanian Negeri Kedah (KSDA), Lembaga Kemajuan Ekonomi Kedah (Keda), Pertubuhan Kami Anak Felda (Kaf) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi).

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols berkata, kerjasama strategik enam pihak itu adalah sebagai inisiatif untuk mewujudkan perladangan kopi yang mampan dalam usaha memulihkan semula sektor perladangan kopi di negara ini.

Beliau berkata, program itu turut menyediakan sokongan kepada peladang di setiap peringkat proses perladangan kopi bagi membangunkan rantaian huluan kopi.

“Kami yakin menerusi pengalaman dan skala Nestle sebagai pengeluar makanan utama dengan gabungan kepakaran tempatan ini, kami mampu memulihkan kembali sektor perladangan kopi selain meningkatkan taraf hidup peladang tempatan,” katanya pada majlis pelancaran Program Nescafe Disemai Dengan Kasih di sini, semalam.

Ketika ini, nurseri tanaman induk bersaiz 1.21 hektar yang dibangunkan pada 1990-an di Sik, Kedah sedang dibaik pulih untuk penyediaan bahan penanaman yang mencukupi bagi tujuan pengeluaran biji benih kopi.

Ia juga akan menjadi pusat bagi Program Nescafe Disemai Dengan Kasih.

Aranols berkata, Kumpulan Nestle adalah pembeli terbesar kopi hijau di dunia dengan perolehan sekitar 850,000 tan kopi hijau setiap tahun.

“Untuk Malaysia, kami mengimport sekitar 17,000 tan kopi dan jumlah itu dijangka meningkat secara signifikan dari semasa ke semasa,” katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 7:04am
d