bisnes

Lebih 30,000 usahawan Terengganu terima bantuan agensi KUSKOP

Oleh Nazdy Harun

Kuala Nerus: Seramai 782,522 usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS), koperasi, perusahaan sosial, syarikat pemula, usahawan informal serta belia dan graduan memperoleh impak positif melalui 187 program yang dianjurkan Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) sepanjang tahun lalu.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, dalam konteks negeri Terengganu, pada tahun lalu seramai 32,860 usahawan menerima pembiayaan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, SME Bank dan Bank Rakyat membabitkan dana pembiayaan sebanyak RM485.3 juta.

Menurutnya, selain itu seramai 811 usahawan di negeri ini juga menerima bimbingan dan latihan keusahawanan dari Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

Katanya, pihaknya juga melaksanakan pelbagai program pembangunan keusahawanan untuk 469 usahawan dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.

"Dalam aspek koperasi pula, di negeri ini sebanyak 58 koperasi baharu telah berjaya didaftarkan pada tahun 2023.

"Selain itu, sebanyak 21 koperasi juga menerima pembiayaan berjumlah RM28.3 juta di bawah Tabung Modal Pusingan SKM dan sebanyak 18 koperasi menerima bantuan pembangunan koperasi dengan nilai RM1.3 juta," katanya pada Perhimpunan Bulanan KUSKOP di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan perangkaan terkini, sebanyak 37,598 pertubuhan PMKS direkodkan di Terengganu dengan 88 peratus daripadanya adalah usahawan mikro.

Selain itu, terdapat 828 koperasi di Terengganu telah didaftarkan sehingga Disember 2023, katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2024 @ 3:32pm
d