bisnes

Bank Muamalat tawar pembiayaan peribadi patuh syariah, Cash-i Fsa 2

Oleh Siti Norhidayah Mohd Yunus

Kuala Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menawarkan pembiayaan peribadi patuh syariah, Cash-i Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) bagi ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berkelayakan bermula 16 Mac 2024.

Bank itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, fasiliti kewangan bertujuan membantu golongan terkesan keluar dari beban kewangan, akan dikenakan kadar keuntungan sebanyak 4.75 peratus pada kadar tetap tahunan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin berkata, pembiayaan peribadi Cash-i FSA2 dibuka kepada semua pencarum KWSP yang berkelayakan berumur antara 40 sehingga 53 tahun.

Katanya, pembiayaan peribadi Cash-i itu terbuka kepada pencarum dengan pendapatan kasar minimum sebanyak RM2,000 dan baki minimum sebanyak RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP mereka.

"Pemohon yang layak boleh mendapat akses pembiayaan antara RM3,000 hingga RM50,000 bergantung kepada baki Akaun 2 KWSP mereka dengan tempoh bayaran maksimum 10 tahun," katanya dalam kenyataan sama.

Menurut Khairul, pihaknya cakna dengan keadaan ekonomi isi rumah yang tidak menentu dan bersedia membantu mengurangkan beban mereka.

"Dengan meningkatkan keupayaan dan akses kewangan melalui penyediaan perkhidmatan yang berkesan, Bank Muamalat bukan sahaja membantu masyarakat mendapatkan pembiayaan, tetapi turut merancakkan pasaran yang akan memenuhi permintaan isi rumah.

"Sehubungan itu, Bank Muamalat bersedia untuk meluaskan perkhidmatan dan produk kewangan bagi memenuhi keperluan golongan kurang mendapat perkhidmatan kewangan yang pelbagai dan khusus," katanya.

Bagi memastikan kepuasan perkhidmatan pelanggan dan mengurangkan tempoh proses kelulusan, permohonan untuk pembiayaan peribadi ini boleh dibuat melalui platform dalam talian mesra pengguna, Muamalat Application Platform (MAP).

Untuk maklumat lanjut mengenai, Cash-i FSA2 sila layari laman sesawang Bank Muamalat di www.muamalat.com.my atau kunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat. Pelanggan juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank Muamalat di 03-2600 5500 untuk maklumat lanjut.

Disiarkan pada: March 13, 2024 @ 9:34pm
d