bisnes

Diskaun sehingga RM14,500 untuk Proton X50 2024

Oleh Lizam Ridzuan

Subang Jaya: Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) menyasarkan jualan sehingga 2,500 unit sebulan untuk model Proton X50 2024 yang dilancarkan hari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Abdullah berkata meskipun terdapat penurunan berbanding sebelum ini sebanyak 3,000 unit sebulan namun dengan pengenalan model terbaharu ini ia dijangka mengekalkan momentum jualan model kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-B terlaris di Malaysia itu.

"Pelbagai model dan jenama dalam segmen sama mula ditawarkan ke dalam pasaran tempatan maka ia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap jumlah jualan model ini.

"Namun menerusi ciri baharu yang diperkenalkan selain penambahbaikan bernilai RM6,000 yang ditawarkan ini untuk lebih keselesaan kepada pengguna ia dijangka mengekalkan momentum jualan dan kami sasarkan ia akan kembali seperti sebelum ini," katanya.

Model baharu ini juga bakal dieksport ke luar negara dan ia begitu popular di pasaran Brunei, Afrika Selatan dan Pakistan dengan ciri rekaan yang sporty.

Antara pembaharuan yang diberi untuk X50 serba baharu ini ialah dengan 20 ciri Kebisingan, Gegaran dan Kekasaran (NVH) yang ditambahbaik.

"Elemen keselesaan lain seperti sistem pempropesan baru lebih pantas 33 peratus menerusi dwi-core 4GB RAM dan storan lebih besar 64GB untuk sistem infotainmen 'head unit' yang juga kini ditawarkan dengan saiz 10.3 inci," katanya.

Model ini masih kekal dengan enjin 1.5 liter TGDI pengecas turbo dengan kuasa 177PS dan tork 255Nm menerusi kotak gear dwi-klac 7 kelajuan.

Antara ciri lain yang ditampilkan adalah pintu kargo berkuasa elektrik untuk varian Flagship dam Premium serta kluster meter digital untuk semua varian.

Empat varian ditawarkan dan Proton mengekalkan harga seperti sebelum ini bermula RM86,300 sehingga RM113,300 dan 5,000 tempahan terawal sebelum 31 Julai 2024 bakal menikmati diskaun sehingga RM14,500.

Disiarkan pada: June 4, 2024 @ 11:58am
d