Afrika

12 jam bertahan atas pokok

Oleh Agensi

Nairobi: Seorang pelancong dari China berkongsi pengalamannya menyelamatkan diri daripada banjir di Kenya, baru-baru ini, dengan berada di atas pokok selama 12 jam.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, akibat kejadian itu, Liu Jiatu, 28, kehilangan bagasinya dan hanya memakai kemeja-T dan seluar dalam.

Wanita itu terperangkap dalam banjir di destinasi pelancongan terkenal, Masai Mara, pada 1 Mei lalu.

Hujan yang lebih lebat daripada biasa melanda Afrika Timur disebabkan gabungan kesan El Nino dan musim hujan yang panjang dari Mac hingga bulan lalu.

Liu menginap di dalam khemah di Basecamp Masai Mara. Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama, pernah bermalam di lokasi itu, pada 2006.

Pada masa kejadian, dia dikejutkan oleh guruh pada 1.15 pagi dan mendapati air setinggi paras lututnya.

Pintu masuk utama khemah dikunci, dan dia tiada masa untuk mencari kunci. Dalam keadaan gelap dan perabot terapung, Liu mengoyakkan lubang pada kain khemah.

Sebaik sahaja di luar khemah, Liu memanjat pokok dan melihat khemahnya musnah akibat arus deras.

Dia menghabiskan malam dalam cuaca sejuk di atas pokok itu dengan seorang penduduk tempatan yang tidak berbahasa Inggeris.

Pada 12.30 tengah hari, Liu akhirnya diselamatkan.

Disiarkan pada: June 25, 2024 @ 1:04pm
d