Amerika Utara

Cuba racun suami guna ubat titis mata

Oleh Agensi

Washington: Seorang wanita di Arkansas, Amerika Syarikat didakwa kerana meracun suaminya dengan ubat titis mata.

Memetik portal New York Post, Tina Glasco, 56, ditahan pada Rabu lalu selepas siasatan polis mendedahkan wanita itu menggunakan ubat titis mata Visine untuk meracun suaminya secara perlahan-lahan, menurut laporan KAIT-TV.

Glasco didakwa mencampurkan ubat titis mata itu ke dalam minuman suaminya selama empat hari.

Polis berjaya memperoleh rakaman perbualan semalam yang mendedahkan wanita itu merancang membunuh suaminya.

Akibat perbuatannya itu, Glasco ditahan di penjara kerana berdepan dakwaan cubaan membunuh.

Dia kemudian dikenakan ikat jamin berjumlah AS$100,000 (RM399,750).

Berdasarkan pusat perubatan Mount Sinai, tetrahydrozoline, bahan yang banyak digunakan dalam ubat titis mata boleh menyebabkan sawan, mata kabur, sukar bernafas dan koma, jika diminum.

Sementara itu, pengeluar Visine, Johnson & Johnson berkata, ubat titis mata tidak harus dimakan atau diminum.

"Menggunakan tetrahydrozoline (bahan aktif dalam Visine) di permukaan mata terbukti selamat digunakan selama lebih dari 50 tahun.

"Visine dilabel dengan jelas untuk penggunaan luaran saja dan tidak boleh ditelan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan kepada Forbes.

Disiarkan pada: January 5, 2021 @ 6:31am
d