Amerika Utara

Elon Musk beli Twitter, dengan AS$44 bilion

Oleh Reuters

New York: Bilionair, Elon Musk berjaya dalam rundingan untuk membeli Twitter Inc dengan bayaran tunai sebanyak AS$44 bilion (RM191.44 bilion).

Kejayaan rundingan itu menyaksikan pertukaran pemilikan platform media sosial berkenaan yang memiliki jutaan pengguna seluruh dunia.

Ia juga menjadi detik bersejarah kepada syarikat yang baru berusia 16 tahun yang menjadi platform umum paling berpengaruh di dunia dan kini bakal berdepan pelbagai cabaran.

Sebelum ini, Musk menganggap dirinya sebagai pendukung kebebasan untuk bercakap dan mengkritik kaedah digunakan Twitter.

Musk berkata, algoritma di Twitter memberi keutamaan kepada ciapan tertentu supaya ia boleh diakses lebih ramai pengguna.

Beliau turut mempertikaikan peruntukan kuasa berlebihan terhadap syarikat yang melanggan perkhidmatan pengiklanan.

Pembelian platform media sosial itu sudah diluluskan Lembaga Pengarah dan kini tertakluk kepada undian dalam kalangan pemegang taruh.

Pembelian itu dijangka tidak memberi kesan aspek kawal selia, kata penganalisis.

Disiarkan pada: April 26, 2022 @ 11:11am
d