Eropah

Perdana Menteri Sweden umum letak jawatan

Oleh AFP

Stockholm: Perdana Menteri Sweden, Magdalena Andersson mengumumkan akan meletak jawatan selepas blok haluan kanan memenangi pilihan raya Ahad lalu.

Daripada 349 kerusi Parlimen Sweden, blok berhaluan kanan dijangka memenangi 176 kerusi, sebahagiannya disebabkan jumlah kerusi dimenangi parti sayap kanan Demokrat Sweden (SD), selepas lebih 99 peratus kawasan selesai dikira.

Pada satu sidang media, Andersson, pemimpin parti Demokrat Sosial, berkata, ia adalah kemenangan majoriti tipis, namun tetap memiliki majoriti.

"Justeru, esok saya akan menyerahkan peletakan jawatan saya sebagai Perdana Menteri dan tanggungjawab bagi proses seterusnya akan diserahkan kepada speaker," katanya.

Sebelum ini tidak pernah berlaku kerajaan Sweden terpaksa bergantung kepada sokongan parti SD yang memenangi undian, selepas memperoleh lebih daripada tiga mata peratusan.

Dengan majoriti besar, parti itu muncul sebagai yang kedua terbesar di Sweden di belakang Demokrat Sosial, yang sudah mendominasi politik Sweden sejak 1930-an.

Bagaimanapun, jawatan Perdana Menteri kemungkinan besar akan diserahkan kepada pemimpin parti Moderate, Ulf Kristersson, selepas pemimpin SD, Jimmie Akesson gagal menyatukan keempat-empat parti untuk mengetuai kerajaan.

"Saya kini memulakan kerja membentuk kerajaan baharu dan kuat," kata Kristersson dalam satu video yang dimuat naik ke Facebooknya.

Kristersson, bekas gimnas, mengetuai pusingan U untuk partinya apabila memulakan rundingan kerjasama pada 2019 dengan SD sebelum mengukuhkan kerjasama mereka.

Dalam entri di Facebook semalam, Akesson mengucapkan terima kasih kepada 'rakan Sweden' di seluruh negara, dan menyatakan rundingan bagi pembentukan kerajaan baharu akan mengambil sedikit masa.

Disiarkan pada: September 15, 2022 @ 9:38am
d