ku-bela

Beli haiwan online

Oleh Nurul Husna Mahmud

Hobi memiliki haiwan eksotik antara hobi yang menelan belanja besar kerana ada segelintir spesies boleh mencecah ribuan tinggi.

Atas faktor ia sukar ditemui selain segelintir memiliki status dilindungi di negara masing-masing menyebabkan proses dokumentasi rumit dan menelan belanja tinggi.

Namun, minat yang mendalam mengaburi semua kesukaran itu. Peminat haiwan terbabit boleh terdedah kepada penipuan pembelian haiwan eksotik secara dalam talian.

Justeru, Malaysian Exotics Community (Exomy) berkongsi panduan penting dalam mengelak peminat haiwan terutama pertama kali melakukan pembelian haiwan eksotik secara dalam talian.

Berikut adalah beberapa langkah yang boleh membantu anda mengelakkan penipuan pembelian haiwan eksotik secara dalam talian.

1. Kenali jenis penipuan

Memahami jenis penipuan yang biasa berlaku sebagai contoh, penipuan menerusi e-mel atau mesej yang cuba mencuri maklumat peribadi.

2. Pilih penjual yang dipercayai

Pembeli boleh memeriksa trek rekod penjual daripada komuniti haiwan eksotik lain.

Jika penjual mempunyai reputasi baik termasuk kredibiliti dalam kalangan komuniti pemilik haiwan eksotik ia mengurangkan risiko penipuan.

3. Semak latar belakang peniaga sebelum membeli

Selidik ulasan pelanggan dan pastikan peniaga mempunyai rekod yang baik. Boleh juga semak menerusi testimoni atau dalam kalangan pemilik haiwan eksotik yang sudah ada kredibiliti.

4. Pilih kaedah pembayaran 'cash on delivery' atau pembayaran secara tunai ketika haiwan sampai

Ini membolehkan bakal pemilik haiwan eksotik memeriksa haiwan sebelum membayar.

5. Jangan tergesa-gesamelakukan pembelian

Ambil masa untuk menyemak butiran produk dan penjual.

6. Berhati-hati dengan penawaran harga murah atau tidak masuk akal

Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran harga murah. Harga yang terlalu rendah mungkin menimbulkan kecurigaan.

7. Identiti yang sah

Jangan terpedaya dengan penjual yang memalsukan identiti. Pastikan nombor akaun bank sama seperti nama penjual atau kedai.

8. Berkomunikasi dengan penjual

Bertanya kepada penjual mengenai haiwan yang ingin dibeli. Pastikan semua pertanyaan dijawab dengan jelas. Cuba dapatkan sebanyak mungkin maklumat berkenaan haiwan yang ingin dibeli, video dan gambar.

Jika masih ragu-ragu, cuba buat panggilan video untuk melihat keadaan haiwan terbabit. Reaksi normal penipu akan mengelak panggilan video.

9. Kenal pasti lokasi penjual

Jika penjual berada jauh dari anda, cuba dapatkan wakil untuk berjumpa penjual sebelum membeli.

10. Lapor jika tertipu

Jika anda menjadi mangsa penipuan, laporkan kepada pihak berkuasa dan pentadbir kumpulan (admin group) di mana penipu itu mengiklankan haiwan yang ingin dijual serta berikan maklumat diperlukan.

Disiarkan pada: June 26, 2024 @ 6:31am
d