mutakhir

'Belum ada perubahan'

Melaka: “Masih belum ada perubahan,” kata Vanessa Lupang, 22, sepupu penjaga gol simpanan Melaka United (MU) Marco Stefan Petrovski, 18, yang belum sedarkan diri sehingga petang semalam akibat dipanah petir ketika menjalani latihan bersama skuad bawah 21 tahun negeri itu di Kompleks Sukan Krubong, di sini, kelmarin.

Vanessa yang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor, berkejar ke Hospital Melaka petang kelmarin, selepas dihubungi ahli keluarga untuk memantau keadaan Petrovski, sementara menunggu ibu Petrovski, Marie Lupang tiba dari Portugal.

“Keadaan Petrovski tidak banyak berubah berbanding malam tadi (kelmarin), dia masih belum sedarkan diri, namun stabil dengan denyutan jantung yang normal.

“Bagaimanapun, saya rasa dia cuba berkomunikasi kerana apabila saya membisikkan kata-kata ke telinganya denyutan jantungnya naik, saya sentiasa berhubung dengan doktor merawatnya untuk mengetahui perkembangan terkini Petrovski,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka.

Sementara itu Pengarah Hospital Melaka Datuk Dr Za’aba Baba berkata, Petrovski dipantau doktor di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan penjaga gol itu juga masih menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Keadaan dia stabil, begitu juga dengan rakannya Muhammad Afiq Azuan, 21, yang dibenarkan pulang jam 1.15 tengah hari tadi (semalam) selepas menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, hospital ini sejak semalam (kelmarin),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Selain itu, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron yang juga Presiden Melaka United Soccer Association (MUSA) melawat kedua-dua mangsa di ICU dan Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital terbabit jam 12.30 tengah malam, semalam.

Disiarkan pada: April 7, 2016 @ 8:43am
d