mutakhir

Elok kau tu yang terbakar

Oleh Shahrinnahar Latib

BERANG tidak mendapat wang daripada ibunya, penagih dadah ‘naik hantu’ dan bertindak membakar rumah pusaka peninggalan arwah bapanya di FELDA Jengka 11, Maran, hari ini.

Bagaimanapun kejadian kira-kira 2 petang itu tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa berikutan ibu lelaki itu yang juga ibu tunggal tiada di rumah ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Suprintendan Norzamri Abd Rahman berkata, suspek yang berusia 33 tahun dipercayai sudah mengugut untuk membakar rumah itu sejak beberapa hari lalu kerana ibunya enggan memberinya duit untuk membeli bahan terlarang itu.

"Selepas mendapat maklumat mengenai kejadian berkenaan, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menangkap suspek di sekitar kawasan rumah berkenaan.

"Suspek yang juga seorang penganggur dan mempunyai lima rekod kesalahan lampau itu kini ditahan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Sani Harul berkata, pihaknya yang menerima panggilan 2.27 petang berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 30 minit.

"Sebuah jentera dihantar ke lokasi dan ketika sampai di lokasi berlaku kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal sedang terbakar.

"Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran salur bantu air daripada tangki jentera. Kebakaran itu menyebabkan 90 peratus rumah terbakar. Bagaimanapun jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 11:02pm
d