mutakhir

Astaghfirullah

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

IBU durjana sanggup membiarkan teman lelaki mencabul dan meliwat dua anak perempuannya hingga menyebabkan mangsa trauma dalam kejadian di rumah di Kuala Lumpur sejak sebulan lalu.

Lebih buruk lagi, wanita berusia 36 tahun itu turut menunjukkan contoh tidak baik kepada anaknya apabila bersekedudukan dengan suspek berkenaan sejak setahun lalu.

Menurut sumber polis, mangsa berusia 14 dan 17 tahun yang masih bersekolah, tinggal di rumah berkenaan selepas ibu dan bapanya bercerai sejak beberapa tahun lalu.

"Suspek kebiasaannya akan mengambil kesempatan mencabul dan meliwat mangsa apabila ibu mereka keluar bekerja atau tiada di rumah.

"Tindakan tidak bermoral itu berlaku berulang kali namun suspek berusia 38 tahun memberi amaran akan mencederakan mereka jika perkara terbabit terbongkar," katanya.

Katanya, mangsa juga pernah dipukul oleh suspek beberapa bulan lalu hingga menyebabkannya cedera dan pernah melaporkan kejadian kepada polis.

"Suspek tetap mengulangi perbuatan berkenaan sehinggalah mangsa yang tidak tahan diperlakukan demikian memberitahu bapa saudaranya untuk tindakan lanjut.

"Bapa saudaranya terus membuat laporan polis berkaitan kejadian terbabit dan menyelamatkan mangsa bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini," katanya.

Mengikut maklumat awal, mangsa pernah menceritakan perkara berkenaan kepada ibunya, namun wanita berkenaan tidak mempercayai dan menganggap anaknya mereka cerita sahaja.

"Berikutan itu, polis sudah menahan suspek berkenaan untuk tindakan lanjut manakala mangsa dihantar ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan," katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2018 @ 7:11pm
d