mutakhir

SPRM ada kuasa beku akaun UMNO - Muhyiddin

Oleh Mohd Sabran Md Sani

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai kuasa untuk membekukan akaun UMNO Pusat dan Selangor jika mempunyai asas.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan dilakukan SPRM mengambil kira bidang kuasa dimiliki agensi berkenaan dan mereka mempunyak hak.

“Saya tidak tahu laporan berhubung perkara itu (akaun UMNO dibekukan). Apa-apapun kalau ia di bawah SPRM, itu adalah tugas SPRM dan saya tidak boleh komen.

“Tentu ada asas yang ditemukan pihak SPRM,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja di Kompleks Kuarantin, Imigresen dan Kastam (KIK) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan calon Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa akaun Ibu Pejabat UMNO Pusat dan Selangor dibekukan SPRM, hari ini.

Ahmad Zahid turut mendakwa Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga hampir pasti meminta Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk membatalkan pendaftaran UMNO dalam tempoh terdekat.

Muhyiddin berkata, beliau menafikan mengarahkan ROS membatalkan pendaftaran UMNO, sebaliknya badan itu berhak mengambil tindakan ke atas mana-mana pertubuhan jika didapati tidak mengikuti undang-undang.

“Tindakan juga dilakukan sekiranya mereka (UMNO) gagal mematuhi peraturan mana-mana parti politik,” katanya.

Berita berkaitan

Akaun UMNO dibeku SPRM

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 7:33pm
d