mutakhir

Kaji batu nesan

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Kajian membabitkan sampel tanah dan batu nesan pada sebuah pusara di Kampung Lengkuk Dalam, Rembau, Negeri Sembilan dipercayai tempat bersemadinya Panglima Awang perlu dilakukan secara terperinci serta menyeluruh.

Ketua Sekolah Pengajian Warisan dan Peradaban Universiti Islam Malaysia Prof Tan Sri Dr Ab Latiff Abu Bakar berkata, kajian amat perlu dibuat bagi pengesahan pusara berkenaan mempunyai kaitan dengan Panglima Awang atau tidak.

Menurutnya, pihak berkaitan juga perlu menubuhkan panel dianggotai pakar arkeologi, batu nesan dan sejarah ketamadunan negara bagi membincangkan mengenai tokoh berkenaan.

“Kami tidak boleh nafi Panglima Awang itu wujud, namun kena ada bukti saintifik yang lebih terperinci supaya tidak dipertikaikan oleh pihak tertentu.

“Apa yang dilakukan kumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) sebenarnya membuka satu lembaran baru kepada pengkaji lain melakukan kajian secara serius mengenai pelayar Melayu pertama berkenaan,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Harian Metro menerusi laporan bersiri sejak kelmarin merungkai misteri sejarah Panglima Awang atau lebih dikenali sebagai Enrique de Malacca yang tergantung sejak ratusan tahun dulu.

Ia susulan kejayaan sekumpulan penyelidik UPM menemui kubur berkemungkinan menjadi tempat bersemadi pelayar Melayu pertama itu selepas mengharungi pelayaran mengeliling dunia pada kurun ke-15.

Kajian dilakukan kumpulan penyelidik UPM mendapati kubur Sakai Laut Dalam yang juga tokoh di Kampung Padang Lekuk, Kota Rembau, Negeri Sembilan kemungkinan milik Panglima Awang berdasarkan beberapa catatan serta kajian mengenai pelayar Melayu pertama itu.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM Dr Rohaidah Kamaruddin, perkara berkenaan disokong oleh catatan yang diambil daripada penulisan Antonio Pigafetta, Magellan’s Voyage (1524) versi Itali.

Ab Latiff berkata, kajian berkenaan juga akan menentukan kesahihan dakwaan bahawa kubur Sakai Laut Dalam adalah milik Panglima Awang berdasarkan usia tanah dan ujian asid deosiribonukleik termasuk sampel tulang.

“Kita seharusnya tidak tertumpu kepada kajian penulisan buku semata-mata kerana penyelidikan membabitkan bukti saintifik dapat mengukuhkan lagi dakwaan berkaitan penemuan kubur berkenaan,” katanya.

“Jika semua perkara itu dilakukan dengan jayanya, barulah kita dapat menentukan kubur Sakai Laut Dalam itu adalah Panglima Awang atau sebaliknya,” katanya.

Disiarkan pada: September 18, 2018 @ 1:09pm
d