mutakhir

'Hati-hati keluar kenyataan...' - Muhyiddin

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob dan Hasbi Sidek

SEMUA pihak diminta tidak mengambil sebarang tindakan atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh ‘membakar’ sentimen perkauman serta menjejaskan ketenteraman awam.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yaasin berkata, beliau sudah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah mengawal keadaan dan menyiasat kes rusuhan di Kuil Seri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, hari ini.

“Saya dimaklumkan, polis sudah membuat tangkapan terhadap beberapa suspek dan siasatan sedang dijalankan mengikut kanun keseksaan.

“Mana-mana suspek yang didapati melanggar undang-undang akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau meminta semua pihak untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi mengawal keadaan dan menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang.

“Adalah menjadi tanggunjawab semua pihak supaya tidak mengambil apa-apa tindakan atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh ‘membakar’ sentimen perkauman dan menjejaskan ketenteraman awam.

“Saya memandang serius insiden itu dan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat keharmonian dan keamanan negara,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati ratusan orang awam berkumpul di tengah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhadapan Kuil Maha Mahariamman hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas menghala ke Shah Alam, jam 9 malam tadi.

Terdahulu, kumpulan berkenaan bertindak menahan sebuah trak polis yang melalui laluan berkenaan sambil menyalakan siren.

Difahamkan, kenderaan itu ‘terhenti’ kira-kira lima minit sebelum bergerak secara perlahan-lahan meninggalkan lokasi.

Malah, kumpulan berkenaan turut menahan kenderaan lain sehingga sukar untuk bergerak sambil merakam video dan bertepuk tangan di atas lebuh raya.

Berita berkaitan

Rusuhan kuil: Polis minta semua bertenang!

Rusuhan kuil: Waytha Moorthy salahkan polis

Polis berkawal sampai keadaan tenang

Bergaduh sampai 18 kenderaan terbakar

[UPDATE] Tiada unsur perkauman kata polis

Kenapa kau bakar rumah kongsi pula? [METROTV]

Rusuhan kuil: Waytha Moorthy hubungi TKPN

Rusuhan kuil: Pemaju tak terbabit

'Mungkin ada kesalahan tatabahasa' - MB Selangor

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 9:50pm
d