mutakhir

Restoran hidang makanan khayal?

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

SEBUAH restoran di Teluk Intan diperiksa polis dan Jabatan Kesihatan, semalam, selepas aduan pelanggan yang mengalami simptom lemah dan khayal selepas makan di premis berkenaan.

Dalam operasi bersepadu pada 11.20 pagi itu, turut ditahan seorang tukang masak dan dua pembantunya termasuk seorang warga Bangladesh selepas didapati positif dadah jenis opiat.

Terdahulu, mesej mendakwa seorang anggota polis dan tiga anggota lain ‘sangkut’ ujian saringan air kencing selepas makan di sebuah premis di Teluk Intan dan tukang masak premis berkenaan sudah ditahan, tular di WhatsApp sejak semalam.

Sumber berkata, pemeriksaan dijalankan susulan laporan seorang anggota polis yang mengalami simptom lemah, mengantuk dan khayal selepas makan di premis berkenaan, kelmarin.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak bersama pegawai Jabatan Kesihatan dan mereka merampas beberapa jenis masakan seperti kuah makanan, ayam goreng, sayur dan nasi putih.

“Sebungkus plastik lutsinar mengandungi biji kas-kas turut dirampas dan semua sampel dirampas itu dihantar ke Jabatan Kimia Ipoh untuk pemeriksaan.

“Pemilik premis memaklumkan masakan tidak menggunakan sebarang bahan terlarang atau mengkhayalkan, namun bahan masakan seperti kas-kas ada digunakan sedikit oleh tukang masak,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Yahaya Hassan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menjalankan pemeriksaan bersama Jabatan Kesihatan di premis berkenaan.

Beliau berkata, sampel makanan di restoran berkenaan sudah diambil untuk tindakan lanjut dan ia perlu menunggu keputusan ujian kimia.

“Polis menahan tiga pekerja premis berkenaan yang berusia antara 30 hingga 70-an selepas ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif opiat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 4:04pm
d