mutakhir

Durian dan tempoyak sangat diminati

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

PERMINTAAN tempoyak oleh restoran yang semakin tinggi ketika ini sehingga mencecah sejuta kilogram dapat mengelak daripada berlakunya lambakan durian.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak berkata, hasil tinjauan pihaknya mendapati keperluan itu meningkat terutama di Pahang, Negeri Sembilan dan Lembah Klang.

“Itu adalah satu angka besar malah turut menyebabkan harga tempoyak meningkat mendadak daripada RM10 sekilogram kepada kini mencecah RM30 sekilogram.

“Ini jelas menunjukkan permintaan bagi durian yang diproses semakin bertambah sekali gus dapat mengelak daripada berlakunya lambakan durian,” katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Kali Ke-16 Kelab Sukan FAMA di Seremban hari ini.

Majlis itu disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, selain permintaan tempoyak, usaha kerajaan mengeksport buah tempatan itu ke luar negara juga dapat membantu daripada berlakunya lambakan.

Katanya, setakat ini hampir 27 negara yang mengeksport durian berkualiti daripada Malaysia termasuk China, Singapura, Hong Kong, Australia dan Kanada.

“Malah tahun lalu saja kita berjaya mengeksport durian ke China bernilai RM70 juta dan berharap jumlah ini akan terus bertambah memandangkan kali ini kita dibenarkan mengeksport durian sejuk beku.

“Saya yakin hasil daripada pasaran tempatan dan luar negara selain penjualan pelbagai durian yang diproses, tidak akan berlaku isu lambakan durian di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, usaha mengeksport durian diharap dapat menjadikan Malaysia antara negara pengeluar durian terbesar dunia kerana negara berjaya menghasilkan durian berkualiti tinggi seperti Musang King dan Black Thorn.

Katanya, selain durian dari Pahang, durian dari Kuala Pilah dan Jelebu juga kini semakin berkualiti tinggi hasil tanaman di tanah yang bersesuaian.

Bagaimanapun katanya, jika masih berlaku lambakan durian pihaknya bersedia membantu dalam menghasilkan makanan lain seperti durian ‘crepe’, ‘mochi’ dan biskut dalam usaha memperluaskan pasaran durian yang diproses.

Disiarkan pada: June 17, 2019 @ 11:34pm
d