mutakhir

FAMA wujudkan unit halal

Oleh Mohamad Hussin

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menubuhkan unit halal bagi memudahkan proses usahawan memperoleh sijil halal bagi tujuan memperluaskan pasaran produk industri asas tani (IAT).

Pengerusinya Ishak Ismail berkata, unit halal dikendalikan FAMA dengan bimbingan JAKIM bakal memberi manfaat kepada 72,690 usahawan.

Beliau berkata, inisiatif itu amat membantu usahawan memperoleh sijil halal berikutan sebelum ini ramai tidak tahu mengenai prosedur betul untuk melakukan permohonan.

“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bersama Bahagian Halal JAKIM berhubung perkara itu.

“Mereka bersetuju untuk melatih pegawai FAMA sehingga diberi pentauliahan untuk menubuhkan unit ini.

“Mesyuarat akan diadakan dalam tempoh tiga bulan bagi perbincangan dan penyediaan pegawai FAMA supaya unit halal dapat dilancarkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Warga FAMA Bersama Usahawan 2019, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak.

Ishak berkata, FAMA berharap lebih 50,000 atau 80 peratus daripada jumlah usahawan di seluruh negara mendapat manfaat daripada pelaksanaan sijil halal ini bagi membantu pengguna mendapatkan produk yang segar, kualiti dan suci.

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 4:23pm
d