mutakhir

Farhash diminta tampil bantu siasatan

Oleh BERNAMA

POLIS masih berusaha mengesan Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di sebuah kompleks sukan di Ampang pada Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, Farhash masih belum tampil untuk membantu siasatan kes berkenaan dan diminta berbuat demikian.

“Tiga suspek yang kesemuanya lelaki berusia 26 hingga 35 tahun sudah menyerah diri di Balai Polis Ampang Jaya pada 11.40 pagi ini.

“Mereka akan direman untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Fadzil berkata, kesemua lelaki yang ditahan itu bekerja dalam bidang kejurulatihan muay thai.

“Seorang daripada mereka mempunyai beberapa rekod jenayah berkaitan dadah dan jenayah serta dikehendaki Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berkaitan kes dadah.

“Dua lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya.

Pada 9 malam 31 Ogos lalu, seorang individu mengadu diserang dengan topi keledar, pisau dan kerusi dalam satu kejadian rusuhan bersenjata dipercayai membabitkan lebih 12 lelaki tempatan.

Individu itu dilaporkan mengalami kecederaan koyak di bahagian tisu pinggang dan luka anggota badan.

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 10:46pm
d