mutakhir

Anwar minta Farhash Wafa serah diri

Oleh Mohamad Hussin

DATUK Seri Anwar Ibrahim mahu Setiausaha Politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak tampil menyerah diri di balai polis bagi memberi keterangan berhubung dakwaan terbabit dalam kes rusuhan bersenjata di Kompleks Sukan Arena All Stars, Taman Dagang Permai, Ampang Sabtu lalu.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, Farhash Wafa, 37, yang juga Pengerusi PKR Perak perlu bekerjasama dengan pihak polis bagi melengkapkan siasatan pihak berkuasa.

“Beliau perlu bertemu polis dan memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa.

“Dia sudah dinasihatkan bertemu polis dan saya harap dia berbuat demikian,” katanya ditemui selepas menyampaikan ucapan sempena Forum Anti Rasuah Malaysia di Petaling Jaya hari ini.

Turut hadir Pengerusi Institut Strategik Antarabangsa (ISI), Cheah Chyuan Yong.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Selasa lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, dalam kejadian 9 malam itu antara 12 hingga 14 lelaki melakukan rusuhan bersenjata di lokasi berkenaan.

Menurutnya, kejadian bermula apabila suspek terserempak dengan mangsa dan terus menolak mukanya yang mengakibatkan berlaku kekecohan dan pihak pengurusan kompleks meminta mangsa serta suspek beredar dari kawasan itu.

Bagaimanapun, tiga suspek yang terbabit dalam kes rusuhan bersenjata itu sudah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pagi semalam.

Suspek berusia 26 hingga 35 tahun itu adalah jurulatih Muay Thai manakala salah seorang suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan orang dikehendaki di IPD Cheras manakala dua lagi suspek tiada rekod jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (KK) kerana merusuh dengan senjata.

Sementara itu, Anwar menafikan terbabit dalam penyebaran satu lagi klip video lucah didakwa mirip timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pagi tadi.

“Saya tidak mahu terbabit dan tidak mahu tahu mengenainya malah saya tidak mahu menonton langsung video berkenaan,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai penyebaran terbaru rakaman video lucah memaparkan dua individu yang disebar menerusi aplikasi WhatsApp pagi tadi.

Mengulas lanjut Anwar berkata, beliau tidak tahu mengenainya.

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 5:16pm
d