mutakhir

Satu malam rugi RM3.5 juta

Oleh Mohd Rafi Mamat

SERAMAI 15 pekebun projek nangka madu di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Muadzam Shah, di Rompin, kerugian kira-kira RM3.5 juta selepas 2,500 pokok mereka dimusnahkan kumpulan 10 gajah, malam kelmarin.

Pekebun Muhammad Zakwan Zulkeply, 28 berkata, ancaman gajah sepanjang tahun ini begitu serius apabila sudah 10 menyerang kebun hingga menyebabkan kerugian besar pada peserta projek yang bergantung sepenuhnya kepada hasil pertanian itu.

Katanya, serangan gajah malam kelmarin yang terburuk berlaku tahun ini, bukan sahaja tidak dapat memungut hasil buah, tetapi lebih menyedihkan banyak pokok musnah dan rosak.

Menurutnya, serangan kumpulan haiwan itu kali ini menyebabkan dia kerugian kira-kira RM1.2 juta apabila sebanyak 400 pokok berusia enam tahun musnah hanya dalam satu malam sahaja.

“Ancaman gajah di TKPM Muadzam Shah seluas 173 hektar membabitkan 31 lot berlarutan sejak empat tahun lalu, pelbagai usaha menghalang serangan haiwan itu, namun kini dilihat kurang berkesan.

“Terdapat parit dibina bagi menghalang kemasukan gajah ke kawasan TKPM, namun ia sudah lama tidak diselenggara membolehkan haiwan itu masuk dengan mudah,” katanya.

Beliau menambah, pihak berkaitan seperti Jabatan Pertanian Pahang sebagai peneraju projek perlu segera membantu pekebun terutama dengan menggali semula parit yang bersempadan dengan Hutan Simpan Ibam yang menjadi habitat semula jadi gajah.

Muhammad Zakwan berkata, dia bagi pihak pekebun juga berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang dapat segera bertindak dengan cara menghalau atau menangkap haiwan liar berkenaan.

“Saya bagi pihak 15 peserta projek yang mengalami kerugian berikutan serangan gajah malam kelmarin merayu kepada pihak berkuasa supaya dapat memberi perhatian serius kes ini,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu Pengarah PERHILITAN Rozidan Md Yasin berkata, pihaknya sudah melakukan siasatan selepas mendapat aduan daripada pekebun berkaitan kejadian itu.

“Di kawasan Hutan Simpan Ibam terdapat antara 20 hingga 30 gajah, kumpulan haiwan berkenaan akan menceroboh TKPM Muadzam Shah untuk mencari makan.

“Saya sudah mengarahkan kakitangan PERHILITAN di Muadzam Shah supaya membuat rondaan pada waktu malam bagi memastikan kumpulan haiwan terbabit tidak menceroboh kebun nangka peserta.

“Saya juga menyarankan kepada pekebun supaya dapat turut sama melakukan rondaan selain memasang lampu di kawasan kebun mereka bagi menakutkan gajah,” katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2019 @ 8:35am
d