mutakhir

Doakan kesembuhan UAI

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

PENCERAMAH bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) yang patah tangan kiri selepas terjatuh basikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Pusara di Kuala Terengganu, semalam, menjalani pembedahan kira-kira 12 tengahari ini.

Pembantu Khasnya, Wan Safari Wan Ahmad berkata, UAI dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan dijadualkan menjalani pembedahan di lengan kiri terbabit di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

“Kemungkinan pembedahan itu akan mengambil masa selama empat jam bergantung kepada keadaan.

“Selain patah tangan kiri di bahagian lengan dan hidung, UAI juga patah dua gigi hadapan kerana kejadian itu.

“Sehingga kini UAI stabil malah sempat bergurau dengan saya mengenai dua giginya yang patah ketika ditemui di HSNZ malam tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Safari berkata, memandangkan UAI masih belum pulih sepenuhnya, dia memerlukan rehat yang secukupnya dan tidak bersedia untuk menerima pelawat.

“Kami harap orang ramai bersabar dan memberi masa kepada UAI berehat dahulu, apabila dia selesai menjalani pembedahan dan pulih sedikit UAI akan bersedia menerima pelawat.

“Teruskan mendoakan kesembuhan UAI dan segala urusan pembedahan dan rawatan berjalan dengan lancar,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan Penceramah bebas, UAI yang mengalami patah tangan kiri dan hidung selepas terjatuh basikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Difahamkan, UAI menyertai kayuhan santai bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah di sekitar Bandaraya.

Bagaimanapun ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Pusara pada 6.30 petang, basikal yang dinaiki UAI tiba-tiba berhenti mengejut sekali gus menyebabkan dia terpelanting.

Akibat kejadian UAI dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan segera.

Berita berkaitan

UAI patah tangan, hidung

Disiarkan pada: November 5, 2019 @ 12:19pm
d