mutakhir

Runding tanaman gantian kepada 60 tauke ketum [METROTV]

Oleh Mohd Rizal Abdullah

BUAT pertama kali, seramai 60 ‘tauke’ ketum dari Kedah dan Perlis berkumpul bagi sesi perjumpaan bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Pusat GiatMara Jerlun, semalam.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, ia membabitkan pengusaha ladang ketum dari dua negeri berkenaan iaitu lokasi penanaman ketum tertinggi di negara ini.

Menurutnya, perjumpaan itu bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan daripada pengusaha ketum selain penerangan mengenai soal perundangan dan inisiatif kerajaan.

“Perjumpaan ini turut dihadiri Jabatan Farmasi, Pejabat Daerah, Pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Pertanian Kedah.

“Saya teruja dengan kehadiran ramai pengusaha ladang ketum, membuktikan mereka ikhlas mahu berubah.

“Ini kerana masalah ketum sudah menjadi satu wabak. Ramai anak muda yang terjebak, sekiranya tidak dikawal, ia akan merosakkan anak bangsa,” katanya.

Katanya, hasil perjumpaan itu, empat cadangan pembangunan alternatif diberikan kepada kerajaan dalam usaha membantu pengusaha ketum berubah kepada tanaman lain.

“Ia meliputi pembangunan kapasiti iaitu dengan memberikan latihan dan kursus kepada pengusaha tanaman gantian.

“Meningkatkan prasarana tempatan iaitu meningkatkan gaya hidup masyarakat seperti pusat komuniti, pusat pengumpulan hasil pertanian, kawasan riadah dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, pihaknya turut mencadangkan insentif dan kemudahan membabitkan subsidi benih, bantuan geran pinjaman, penyediaan platform pemasaran dan insentif bantuan sara hidup.

“Yang terakhir dengan memperkenalkan tanaman gantian iaitu mengambil faktor nilai pasaran yang tinggi, peluang pemasaran lebih luas dan permintaan domestik dan luar yang tinggi,” katanya.

Untuk rekod, 138 hektar tanah di seluruh negara dikesan dijadikan ladang ketum dengan 104 hektar dikesan di Perlis dan Kedah, membabitkan 124 pengusaha ladang ketum dan 163 penjual.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 5:00am
d