“TIDAK mungkin saya mampu melupakan peristiwa berdarah itu kerana serpihan peluru yang masih tertanam dalam tubuh sehingga kini,” luah Rahimi Ahmad, 40.
Bapa kepada dua orang anak itu antara tiga rakyat Malaysia yang cedera ditembak pengganas dalam serangan di Masjid An-Noor di Christchurch, New Zealand, 15 Mac tahun lalu.
Selepas setahun lelaki berasal dari Pulau Pinang itu masih belum pulih sepenuhnya dan menggunakan alat sokongan untuk bergerak kerana kaki kanannya lemah serta diberikan cuti sakit sehingga kini.
“Saya bersyukur kerana masih dapat menjalani kehidupan seperti biasa walaupun terpaksa menggunakan alat bantuan untuk bergerak kerana saraf terjejas akibat tembakan yang dilepaskan suspek terkena pada pinggang.
“Namun, isteri sentiasa menemani ketika saat sukar ini menjadikan saya lebih kuat untuk meneruskan kehidupan walaupun pernah melalui detik antara hidup dan mati setahun yang lalu,” katanya yang sudah enam tahun menetap di Christchurch.
Rahimi bersama keluarga berhijrah ke New Zealand selepas isterinya Dr Nor Azila Abd Wahid, 40, melanjutkan pengajian Doktor Falsafah.
Katanya, dia masih menjalani rawatan fisioterapi dan saraf yang dilakukan di hospital dengan bantuan penuh kerajaan New Zealand.
“Beberapa bulan lagi, saya akan menjalani pembedahan membetulkan saraf yang cedera supaya pergerakan saya lebih baik
ekoran serpihan peluru mencederakan saraf utama.
“Doktor juga memaklumkan saya memerlukan lima hingga enam tahun lagi untuk pemantauan bagi memastikan serpihan peluru dalam badan tidak menjejaskan otot dan tisu lain,” katanya.
Katanya, beliau berharap kaki dan sarafnya dapat pulih segera supaya kehidupan dan pekerjaannya dapat dilakukan seperti biasa selain memberi peluang kepada isteri untuk mencari pekerjaan.
Untuk rekod, serangan di Masjid An-Noor dan Masjid Linwood pada 15 Mac tahun lalu mengorbankan 51 nyawa manakala lebih 40 cedera.
Berita berkaitan: