mutakhir

Kilang padi moden beroperasi hujung bulan ini

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

KILANG padi milik Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu yang menggunakan teknologi moden bernilai RM25 juta bakal beroperasi hujung April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pembukaan Kilang Padi Konsortium PP Terengganu Sdn Bhd di Kampung Dalam Oh, Jabi, Besut itu bakal menyelesaikan masalah dihadapi pesawah sekian lama.

“Sebelum ini, masalah kilang padi yang tidak dapat menampung keperluan pengeluaran setempat menyebabkan padi dari Terengganu terpaksa dihantar ke Kedah untuk diproses.

“Disebabkan itu pelbagai kos tambahan terutama pengangkutan dan logistik terpaksa ditanggung pesawah,” katanya ketika membuat tinjauan ke kilang terbabit, hari ini.

Dr Azman berkata, pengurusan kilang bertindak memulakan operasi kilang padi lebih awal daripada jadual asal, selaras musim menuai padi yang sudah bermula di Terengganu.

“Kilang itu dipercayai mampu memproses padi dengan kapasiti sebanyak 400 tan sehari. Pengurusan kilang juga sudah buat persediaan untuk menerima padi,” katanya.

Katanya, yakin pembukaan kilang moden itu mampu memajukan lagi industri padi beras di Terengganu.

Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 4:30pm
d