AGENSI Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) memperluas kawasan pencarian kepada 450 batu nautika bagi mengesan dua lagi mangsa bot terbalik yang masih hilang sejak malam Isnin lalu.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut tertumpu pada sektor kawasan penemuan mayat keenam, petang semalam.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, sebanyak 15 aset daripada semua agensi SAR digerakkan bagi meneruskan pencarian yang masuk hari kelima, hari ini.
Katanya, mayat Harun Daud, 57, ditemui pada jarak 20 batu nautika dari Kuala Kemasin, Bachok kerana kedudukan bot beralih selepas kejadian ribut.
"Mangsa keenam (Harun) ditemui pada titik kedua lokasi bot terbalik, kira-kira lima batu nautika jika dikira dengan lokasi mayat kelima dan bot terbalik berada selepas beralih kedudukan.
"Mangsa ditemui di kedudukan ke arah Timur Laut, jadi sektor pencarian hari ini ditumpukan ke arah petunjuk yang ditemui semalam yang menjadi lebih efektif dan berkesan," katanya ketika ditemui, hari ini.
Katanya, pihaknya turut berpandukan penemuan beg dipercayai milik mangsa bot terbalik dan meneruskan pencarian berdasarkan petunjuk baru.
"Cabaran utama yang kita hadapi adalah laut yang luas dan hari ini awan kelihatan tebal selain kita jangka berdepan cabaran cuaca yang menjadikan masa terhad untuk buat rondaan.
"Jika cuaca di laut bertukar, kita terpaksa batalkan SAR," katanya.
Dua lagi mangsa bot terbalik yang belum ditemui adalah biras kepada tekong bot, Arman Ismail, 43 dan pekerja bot, Che Wadi Bakar, 40-an.
Berita berkaitan