"KAMI rasa abang dah 'tiada', tapi kalau boleh kami nak jasad dia disempurnakan," kata adik mangsa bot terbalik di perairan Kemasin, Bachok yang masih hilang, Encik Wadi Bakar, 44.
Cik Normas, 35, berkata terlalu sukar untuk keluarga menaruh harapan bahawa Wadi masih hidup kerana memikirkan lautan yang luas dan kehilangannya memasuki hari kelima.
Menurutnya, abangnya adalah anak kelima daripada tujuh beradik dan sudah lima tahun bekerja dengan tekong bot itu, Hazahar Mat Sanisah, 48.
Katanya, Wadi tinggal bersamanya dan seorang lagi adik, Suhaimi, 41, serta suami Normas, Mohd Rosli Mustapha, 35, di Kampung Kedai Buloh, Kota Bharu.
"Abang (Wadi) tidak pernah mengalami sebarang kemalangan sepanjang menjadi 'anak laut'.
"Hati saya memang nak dia dijumpai hidup, tapi terlalu mustahil untuk yakinkan hati kerana dia jatuh di laut.
"Saya hanya ingat hari terakhir sebelum dia turun ke laut, abang banyak bercakap dan ketawa dengan kami berbanding sikap asalnya yang pendiam," katanya ketika ditemui di Jeti Perikanan Kemasin, Bachok, hari ini.
Katanya, sepanjang pengetahuannya, abangnya cekap berenang dan menyukai pekerjaan sebagai awak-awak.
Sehingga kini, Wadi dan Arman Ismail, 43, belum dijumpai dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan bersambung pada 6 pagi esok.
Berita berkaitan